Pengendali kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Zinedine Zidane telah menyatakan minat untuk memancing bintang Liverpool, Mohamed Salah dalam jendela perpindahan pemain.
Menurut laporan akhbar dari UK, The Sun, Real Madrid sedang menunggu masa untuk menandatangani pemain itu.
Salah kini merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini dengan 13 gol, menyertai Liverpool dari As Roma pada 6 bulan yang lalu.
Beliau juga sebelum ini pernah beraksi untuk pasukan Chelsea dan penyokong The Reds melahirkan kebimbangan akan kehilangan bintang Mesir itu ke kelab lain.
Real Madrid dipercayai sedang mencari seorang penyerang baru dan Salah merupakan antara calon yang mahu dipancing oleh skuad Los Blancos itu.
Pengurus skuad kebangsaan Mesir turut mengakui Real Madrid memang mengintai peluang untuk membawa pemain itu dalam masa terdekat.
Sementara itu, legenda Mesir, Mido percaya Salah akan berhijrah ke Santiago Bernabeu dan Zidane sendiri memuji prestasi mantap yang dipamerkan oleh Salah dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
“Salah merupakan pemain yang hebat. Dia telah tunjukkan ketika di Roma dan sekarang di Liverpool.
“Dia masih muda dan sentiasa meningkat setiap masa. Saya tak mahu cakap banyak tentang pemain lain tetapi Salah antara pemain yang saya anggap sebagai terhebat,” katanya.
Bintang Chelsea, Eden Hazard juga berpotensi menyertai Real Madrid tetapi memilih untuk kekal di Chelsea dan Zidane mungkin akan beralih arah kepada Salah.