Zhafri Yahya Anggap Musim 2021 Adalah Yang Terbaik Dalam Kariernya

Pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2021, Zhafri Yahya mengakui secara jujur tidak menyangka musim ini bakal menjadi satu sejarah yang cukup gemilang buat Kuala Lumpur City (KL City).

Setelah melalui pelbagai onak dan duri bersama pasukan sejak enam musim yang lalu, Zhafri menganggap kejayaan menjulang trofi Piala Malaysia 2021 akan menjadi kenangan paling manis dalam kariernya selaku pemain bola sepak profesional.

Dalam masa sama, dia juga memberikan penghargaan kepada ketua jurulatih KL, Bojan Hodak yang telah melakukan transformasi terhadap peranannya dalam pasukan iaitu dari bahagian tengah kepada sayap.

“Saya betul-betul terkejut dengan pencapaian Kuala Lumpur sepanjang musim kerana kami tidak tewas dalam 21 perlawanan malah sebelum datang ke final , kami hanya turun dengan status bukan pilihan.”

“Namun kami berupaya menewaskan JDT (Johor Darul Ta’zim) dan itu betul-betul membuatkan saya sangat gembira malah ini menjadi pencapaian tertinggi saya sepanjang enam tahun di Kuala Lumpur.”

“Biarpun dalam perlawanan saya terlepas beberapa peluang tetapi saya perolehi satu kesempatan yang saya tidak akan lepaskan dan gol pertama itu nyata beri semangat kepada pasukan.”

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada jurulatiih kerana dia dapat kenal pasti posisi yang sesuai dengan saya sepanjang bersama pasukan musim ini,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Zhafri memecahkan kebuntuan pada minit-66 sebelum ketua pasukan, Paulo Josue, menggandakan kelebihan pada minit-74 bagi melengkapkan hari penuh gemilang buat KL City.

Kemenangan itu juga menamatkan kemarau penantian 32 tahun KL City yang kali terakhir menjulang trofi Piala Malaysia pada 1989 selain kejuaraan kali keempat secara keseluruhan.

Sementara itu, Josue menjelaskan bukan sahaja jaringannya penting di sebalik kemenangan pasukan tetapi prestasi cemerlang yang dipamerkan bahagian pertahanan KL City FC perlu diberikan pujian.

Jelasnya, bukan mudah menyerap serangan JDT yang ditunjangi pemain-pemain berkualiti seperti Bergson da Silva, Leandro Velazquez dan Arif Aiman Hanapi.

“Biarpun saya telah menjaringkan gol kedua pada minit-74, saya tidak fikir kami sudah boleh berpeluk tubuh kerana semua tahu kualiti dimiliki JDT.”

“Sekiranya mereka berjaya mendapatkan satu jaringan pada baki yang tinggal mungkin mereka akan lebih menekan kami dalam usaha mencari gol penyamaan.”

“Malam ini, rakan-rakan di bahagian pertahanan memainkan peranan yang cukup cemerlang untuk menutup ruang kepada barisan serangan lawan.”

“Sememangnya hari ini menjadi detik cukup istimewa buat pasukan dan saya ucapkan terima kasih kepada pasukan yang terus memberikan kepercayaan kepada saya untuk berada di sini untuk musim kelima,” katanya.

Leave a Reply