Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham yang merupakan pemilik Kelantan mengakui jurulatih kelab tersebut pada musim lalu iaitu Angel Alfredo Vera ingin kekal bersama pasukan itu untuk saingan hadapan.
Terdahulu, Kelantan boleh dikatakan melalui musim terburuk mereka pada tahun lalu selepas The Red Warriors memecahkan rekod baharu untuk dibolosi begitu banyak gol bagi saingan Liga Super.
Bermula dengan isu dalaman membabitkan bekas jurulatih mereka iaitu Choi Moon-sik, sehingga kepada masalah gaji kritikal melanda para pemain dan staf pasukan tersebut.
Masalah-masalah dihadapi itu menyebabkan Kelantan gagal untuk mendapatkan lesen kelab bagi membenarkan mereka beraksi di saingan Liga Super pada musim hadapan.
Sebaliknya, The Red Warriors secara rasminya kini bakal beraksi dalam saingan Amateur Football League (AFL) dengan permohonan telah pun dihantar oleh kelab berkenaan untuk saingan hadapan.
Menerusi jangkaan semasa bakal menyaksikan Kelantan beraksi di saingan Liga M3, pastinya persiapan perlu dilakukan pasukan tersebut terutama sekali mengenai para pemain bersesuaian buat pasukan berkenaan untuk tampil berdaya saing.
Malah, Alfredo Vera juga secara peribadi dilaporkan ingin terus kekal bersama Kelantan menerusi perkongsian dibuat oleh Zamsaham kepada Harian Metro untuk mengharungi saingan musim hadapan.
Zamsaham turut menyatakan Vera bakal diberi peranan untuk membentuk sendiri Kelantan dengan pemilihan pemain bakal dibuat sendiri oleh jurulatih berpengalaman tersebut.
“Dia (Angel Alfredo Vera) ada menyatakan hasrat untuk bersama Kelantan FC bagi musim seterusnya. Dari segi pemain, dia pasti akan melakukan pemilihan mendapatkan pemain terbaik bagi pasukan Kelantan FC,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Vera menjadi jurulatih ketiga dilantik Kelantan pada musim lalu, selepas mereka sah tidak bekerjasama lagi dengan pengendali terdahulu iaitu Choi Moon-sik serta Frank Bernhardt.
Kehadiran Vera ketika itu tidak dapat merubah situasi Kelantan di atas padang, apabila pasukan itu terus menjadi mangsa belasahan pasukan-pasukan lain di saingan Liga Super 2023.
Walaupun begitu, Vera dilihat memberi kepercayaan cukup besar kepada pemain muda sehingga beberapa nama mereka mula mendapat perhatian pemerhati bola sepak tempatan.
Jangkaan kami, Vera pastinya mempunyai perancangan lebih besar pada saingan hadapan untuk cuba membentuk lebih ramai pemain muda berkualiti bagi diketengahkan Kelantan kepada dunia bola sepak profesional.