Presiden kelab bola sepak PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin membayangkan akan meletakkan jawatannya jika pasukan berkenaan disahkan tersingkir ke saingan liga divisyen 2 (Liga Premier) pada musim depan.
Selepas mengharungi 15 perlawanan, skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu kini berada di tangga kedua tercorot 12 mata dan berisiko gagal kekal dalam Liga Super jika tidak berjaya mengutip tiga mata penuh dalam baki 6 perlawanan yang akan datang.
Justeru itu, Zainol berharap para pemain pasukan itu dapat memenuhi permintaannya bermain sepenuh hati untuk memastikan mereka terus kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
“Letak jawatan ini serius dan bukan main-main. Kalau ikutkan sejak ambil alih (pasukan), saya di pihak pengurusan dan pentadbiran telah memenuhi hampir semua permintaan termasuk daripada segi gaji dan sebagainya.
“Jadi inilah masa untuk mereka (pemain) penuhi apa yang kami minta dan yang kami minta adalah supaya terus kekal dalam Liga Super. Untuk itu, mereka perlu menang beberapa perlawanan daripada baki tujuh yang tinggal ini,” katanya seperti dipetik dalam Harian Metro
Sementara itu, ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menyahut cabaran yang dilontarkan oleh Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, supaya mengekalkan pasukan itu dalam Liga Super 2020.
“Saya dan pemain menyahut cabaran ini. Kami akan berusaha dalam baki tujuh perlawanan untuk selamatkan keadaan. Cabaran yang dilontarkan ini adalah adil. Saya pikul segala tanggungjawab itu. Ini adalah kali pertama saya mendapat segala yang saya pinta,” katanya dalam Stadium Astro.
Menurut jurulatih itu, beliau akan menganggap setiap perlawanan yang dilalui selepas ini ibarat perlawanan akhir dan tekad mengutip 3 mata penuh.
“Kami akan turun dengan misi hidup atau mati dalam setiap baki perlawanan dalam usaha pertahankan kedudukan selepas dua musim dalam Liga Super,” katanya yang mengakui terasa bahang dan cabaran hebat musim ini.