Quantcast

BERITA

Zainal Puji Kesungguhan Pemain Melaka United Buru Kemenangan

Skuad Melaka United semalam mencatat kemenangan terbesar dalam saingan Liga Super musim ini selepas membelasah FELDA United, 6-0 sekaligus melonjakkan kedudukan mereka ke tangga ke 5 dalam carta liga.

Pengendali skuad itu, Zainal Abidin Hassan bagaimanapun memuji disiplin tinggi dan kesungguhan memburu kemenangan yang dipamerkan oleh anak buahnya untuk menyakinkan semula para penyokong mereka.

“Tahniah kepada pemain, nampak kesungguhan dan azam mereka yang memang mahukan kemenangan, pemain berdisiplin tinggi dan menyempurnakan peluang yang ada.

“Jika sebelum ini kami berjaya mencipta peluang tetapi tidak menjaringkan gol namun malam ini sebaliknya berlaku apabila enam gol terhasil.

“Walaupun mendahului lawan, pemain tetap fokus sehinggalah tamat perlawanan,” katanya dalam Sinar Harian

FOTO: MUSA

Dalam perlawanan itu, pemain baharu, Luka Milunovic yang dibawa masuk bagi menggantikan tempat Liridon Krasniqi memberi impak yang besar dalam pasukan apabila menjaringkan hatrik dalam penampilan pertamanya.

“Tempoh masa enam minggu Milunovic bersama pasukan semasa latihan sebelum ini memudahkan rakan sepasukan untuk mengetahui corak permainannya, lagi pun dia pernah bersama Melaka United jadi tidak timbul isu keserasian dan saya lihat dia selesa beraksi.

“Rentak seumpama ini perlu diteruskan dan saya mengharapkan pemain bersedia menghadapi perlawanan seterusnya menentang Kedah di tempat lawan,” tegasnya.

Zainal Abidin Hassan. FOTO: MUSA

Selain Milunovic, turut mencatat nama sebagai penjaring ialah Patrick Reichelt sebelum Safiq Rahim menggandakan gol kedua pada minit ke-25. Nazrin Nawi turut meledak gol ketiga pada minit ke-35.

Selepas berakhirnya 13 perlawanan, Melaka United kini berada di kedudukan kelima liga mengumpul 19 mata hasil lima kemenangan, empat seri dan empat kekalahan.