Penalti pada minit ke-70 menjadi titik tolak kepada kekalahan 0-5 Melaka United kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi malam tadi dan menurut Zainal Abidin Hassan, seharusnya para pemainnya mengekalkan fokus dan permainan mereka.
Melaka United bermain dengan sangat berdisiplin dalam mengekang asakan bertali arus juara liga tujuh kali itu sejak dari wisel permulaan, tetapi kecemerlangan penjaga gawang, Norazlan Razali memastikan gawang mereka kekal tidak dibolosi.
Namun, segalanya berubah selepas JDT dihadiahkan sepakan penalti 20 minit menuju ke wisel penamat dan ianya telah disempurnakan oleh pemain tengah, Leandro Velazquez. Selepas gol itu, skuad Harimau Selatan meledak empat lagi gol.
Ianya berpunca daripada serangan balas yang dilakukan oleh JDT, dengan through pass jauh Gonzalo Cabrera berjaya menemui penyerang yang baru sahaja dimasukkan Fernando Rodriguez, namun berlaku tolakan Annas Rahmat terhadapnya.
Gol-gol JDT selepas itu hadir menerusi penyerang dan pertahanan skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad dan Aidil Zafuan, serta dua pemain import, Fernando Rodriguez yang dibawa naik daripada JDT II serta Gonzalo Cabrera di hujung perlawanan.
Menurut Zainal Abidin Hassan, “Keputusan yang amat mengecewakan, saya tidak nafikannya. Tetapi permainan mereka sehingga minit ke-70 begitu baik. Saya boleh katakan di sini penalti tersebut ‘membunuh’ semangat pemain yang lambat bangkit.”
“Di situlah turning point fokus kita terganggu sebentar sehingga terlepas tiga, empat gol lagi,” ujarnya dalam nada sedikit kecewa namun tetap menegaskan yang aksi anak buahnya nampak lebih tersusun biarpun perlawanan dikuasai JDT.
Mengulas mengenai penalti yang diperolehi JDT itu, Zainal Abidin berkata, Penalti atau tidak, permainan harus diteruskan dan mental kena kuat. “Saya tahu pemain sangat kecewa dengan keputusan penalti itu, saya tahu. Itulah yang ‘membunuh’ kami.”
Turut ditanyakan media adakah punca tewas adalah dengan merehatkan bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang sudah dua kali disisihkan bermula ketika aksi berdepan Kedah, minggu lalu. Menurut Zainal Abidin, “Tidak.”
“Khairul Fahmi dan Norazlan adalah dua penjaga gol yang berpengalaman dan bagus Bagi saya, Norazlan bermain begitu cemerlang di separuh masa pertama tetapi kejatuhan emosi yang ‘membunuh’ kami di separuh masa kedua,” tambahnya.
Khairul Fahmi telah berada dalam kesebelasan utama sejak dari permulaan musim dan kemudian tetap menjadi pilihan utama apabila liga bersambung, namun, dilihat gagal membantu pasukan dalam empat perlawanan berturut-turut selepas itu.
KREDIT FEATURED IMAGE: JST