Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan mendedahkan bahawa akan melengkapkan kuota pemain importnya pada minggu hadapan.
Selepas memilih untuk tidak akan mengambil pemain dari Asia Tenggara (ASEAN), Melaka United hanya perlu mengisi satu sahaja lagi kuota pemain import dalam usaha memantapkan pasukan tersebut menghadapi kancah Liga Malaysia 2020.
Setakat ini, skuad Hang Tuah itu telah membawa masuk bekas pemain import dari PKNS FC, Romel Morales dan Uche Agba [PDRM FA] selain mengekalkan khidmat pemain pertahanan kelahiran Korea Selatan, Jan Suk-won.
”Kami masih kekal dengan keputusan untuk menggunakan empat pemain import.”
”Beberapa pemain asing yang akan datang untuk penilaian, dan akan memuktamadkan pemain import terakhir itu pada minggu hadapan.”
”Selepas ianya disahkan, mereka [pemain import] mempunyai lebih sebulan untuk bergabung dengan pemain yang lain,” ujar Zainal kepada The Star Online.
”Kami telah memasuki minggu kelima dalam pra-musim dan kami masih memfokuskan kepada pembinaan kecergasan pemain. Saya dapat melihat peningkatan.”
Selain daripada tiga pemain import tersebut, Melaka United telah memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk pemain-pemain seperti Ahmad Syamim Yahya, Nurridzuan Abu Hassan, Aizulridzwan Razali, Annas Rahmat, Khair Jones, Ferris Danial Mat Nasir, Khairul Anwar Shahrudin serta Norazlan Razali.
Kredit foto: Melaka United