Kelmarin, bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan, Faizal Muhamad dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2) ketika dalam perjalanan pulang ke Terengganu.
Difahamkan kejadian itu berlaku apabila kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah kenderaan jenis Honda HRV selepas dipercayai terbabas sehingga disahkan cedera parah di kepala.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), En Farhan Ibrahim mewakili pengurusan persatuan turut hadir menziarahi pemain itu di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan Pahang.
Pada ziarah itu beliau menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga Faizal bagi meringankan beban yang dihadapi pemain itu.
Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan turut hadir menziarahi Faizal dan berharap pemainnya itu cepat sembuh dan kembali beraksi di atas padang.
“Dalam lawatan itu tidak banyak yang dapat dibicarakan oleh Faizal. Cuma saya dapat memberi semangat dan motivasi untuk dia melalui dengan tabah apa yang dialami dan mendoakan cepat sembuh.
“Saya juga sempat memaklumkan supaya dia tidak terlalu memikirkan tentang pasukan buat masa ini. Apa yang penting dia selamat menjalani pembedahan dan segera pulih,” katanya dalam Berita Harian.
MUSA juga menyediakan kemudahan penginapan bagi memudahkan ahli keluarga Mohd Faizal yang datang dari Terengganu untuk melawat pemain itu.
Turut hadir menziarahi, wakil Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang menyampaikan sumbangan serta beberapa bekas rakan sepasukan Mohd Faizal.
Zainal kini akan memberi fokus mencari pengganti Faizal yang dijangka berehat panjang untuk menjalani proses pemulihan kecederaannya.