Zainal Abidin Beri Bayangan ‘Overhaul’ Jentera Serangan Selepas Kehilangan Casagrande

Casagrande Zainal Abidin Hassan Penang FC 2022

Sejurus menang aksi pertama Liga Super 2022 menewaskan Terengganu 2-1 pada malam tadi, pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan seolah-olah memberi gambaran awal tentang masa depan Casagrande.

Seperti mana yang diketahui, penyerang tinggi lampai itu terlepas aksi malam tadi, malah bakal berehat panjang selepas menjalani pembedahan keretakan tulang pipi kanan sehari sebelum turun berdepan Terengganu.

Malah, dikhabarkan yang Casagrande telah pun digugurkan daripada senarai pemain di jendela pendaftaran pemain kedua yang bakal ditutup pada Jumaat dan penyerang baharu akan tiba pada minggu hadapan.

 

Ketika Semuanya BOLA bertanya tentang perkara itu kepada Zainal di sidang media, beliau mengesahkan perubahan akan dibuat agar dapat membantu meningkatkan prestasi Penang yang suram di awal musim.

Selain itu, turut ditanyakan kepada pengendali yang baru sahaja mengambil alih pasukan itu impak selepas beliau dilihat telah mengubah posisi dan peranan kepada Hilal El-Helwe dan kapten, Endrick dos Santos.

“InsyaAllah, kita akan cuba buat sebaik mungkin untuk Casagrande [pemulihannya]. Dan kita tahu, Casagrande akan berehat panjang, jadi kita perlu membuat satu keputusan drastik sama ada mengganti beliau atau membuat sesuatu yang terbaik buat pasukan.”

“Memang di saat-saat akhir, saya kena meniliti setiap pemain kerana apabila kehilangan Casagrande, kita terpaksa mengubahsuai pasukan ini khususnya di bahagian serangan kerana kita mempunyai pemain-pemain yang begitu pantas berlari.”

“Tetapi untuk perlawanan hari ini, selepas kehilangan Casagrande, saya terpaksa membuat keputusan [antara] Endrick dan Hilal. Alhamdulillah, mereka berjaya menjalankan tugas pada malam ini.”

Jika dilihat dalam aksi malam tadi, Hilal telah menggantikan posisi yang ditinggalkan Casagrande sebagai penyerang utama disamping dibantu oleh dua pemain sayap menyerang, Faizat Ghazli dan T. Saravanan.

Kehilangan Casagrande memaksa Zainal memilih Hilal untuk menjadi penggempur utama pasukan.

Kedua-dua pemain sayap itu memberikan impak buat pasukan dengan Faizat membantu membuat ‘assist’ kepada jaringan Hilal di minit ke-23, sementara Saravanan pula menjaringkan gol kemenangan Harimau Kumbang di minit ke-50 – seminit selepas Terengganu menyamakan kedudukan menerusi Faisal Halim.

Hilal mempamerkan gaya permainan berbeza dengan apa yang diberikan oleh Casagrande sebelum ini. Malah, Endrick yang biasanya bergerak di belakang penyerang juga dilihat lebih banyak membantu di bawah, mungkin atas faktor permainan bertahan yang dimahukan Zainal berdepan peledak Terengganu yang berbahaya.

 

Kelibat penyerang baharu Penang akan dapat dilihat dalam Kejohanan Bola Sepak Kelab Antarabangsa, Piala TYT 2022 yang akan dilangsungkan pada minggu hadapan. Dengan kenyataan Zainal tentang pasukan yang memiliki pemain-pemain laju termasuklah Hilal, mungkin beliau akan menggunakan penyerang ‘targetman’.

Kita tahu gaya taktikal Zainal yang gemar menggunakan penyerang yang berfungsi sebagai ‘targetman’ yang dominan dari segi fizikal dan semua pemain lain akan lebih banyak bergerak untuk membantu membuat hantaran dan sebagainya kepadanya. Zainal berminat dengan ‘targetman’ jenis klasik buat pasukannya.

Untuk melihat kelibatnya, penyokong boleh hadir untuk menyaksikan kejohanan yang akan bermula pada 28 Jun sehingga 02 Julai 2022 di Stadium Bandaraya yang turut melibatkan kelab Muktijoddha Sangsad KC dari Bangladesh Football Premier League dan New Road Team dari Martyr’s Memorial A-Division League (Nepal).

Begitupun, kemenangan malam tadi adalah satu kemenangan moral buat Penang dan mereka akhirnya berjaya keluar dari dasar liga, dibezakan perbezaan jaringan dengan Sarawak United yang berkongsi tujuh mata.

Leave a Reply