Zainal Abidin Anggap 2 Gol ‘Mudah’ Rencatkan Segalanya Buat Melaka United

Jang Suk-won Melaka United JDT 2021 gol mudah

Dibolosi dua gol mudah dalam 10 minit awal memusnahkan segalanya buat Melaka United untuk bangkit apabila tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bek tengah, Adam Nor Azlin dan penyerang, Bergson da Silva meletakkan JDT dua gol di depan apabila meledak dua gol pada minit ke-4 dan ke-8. Dan menurut pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan, dua gol tersebut memusnahkan segalanya.

Ujarnya di sidang media, “Saya tidak nafikan, mereka tidak bermain [di tahap] sebenar seperti dalam perlawanan sebelum ini. Dua gol awal ini mungkin sukar diterima, bukan sahaja saya, malah pemain juga. Lagi-lagi bermain dengan pasukan seperti JDT.”

“Saya amat kecewalah. Bukan dengan permainan tetapi dengan kesilapan mudah yang kita buat. Itu yang membuatkan kita begitu payah untuk kembali. Dua kesilapan mudah itu amatlah mengecewakan kita tetapi pemain masih lagi berusaha,” jelasnya.

Adam Nor Azlin yang membuat debutnya telah membuka tirai jaringan pada minit ke-4 menerusi tandukan selepas menerima bola daripada sepakan penjuru. Beliau dilihat langsung tidak dikawal oleh barisan pertahanan Melaka United ketika itu.

Sebelum itu skuad Hang Tuah memiliki dua peluang awal untuk menjaringkan gol pembukaan, namun salah satunya iaitu percubaan deras jarak jauh Sony Norde cemerlang ditepis Haziq Nadzli yang turut diberikan debut dalam aksi ke-6 liga itu.

Dan pada minit ke-8, jaringan mudah JDT oleh Bergon da Silva merentap semangat pasukan pelawat. Kesilapan komunikasi antara penjaga gol, Khairul Helmi Che Mat dan bek tengah, Jang Suk-won berjaya dimanfaatkan oleh penyerang berbisa itu.

Kedua-dua gol inilah yang menurut Zainal Abidin menjadi punca moral pasukan sedikit terjejas terutamanya kepada Jang Suk-won yang selepas itu dikeluarkan. Katanya, “Hari ini, saya nampak Jang selepas dia membuat kesilapan itu, keyakinannya hilang dan dia jadi tidak tentu arah serta turut mendapat kecederaan kecil.”

“Dia sudah tidak boleh fokus dan main, jadi saya terpaksa gantikan,” tegas Zainal Abidin yang mengeluarkan Jang Suk-won lebih awal daripada yang sepatutnya.

Melaka United jelas cuba bangkit apabila tuan rumah dilihat ‘hanyut’ dengan dua gol awal mereka, namun tuah tidak berpihak kepada mereka antaranya rembatan jarak jauh Sony Norde yang hanya menggegar tiang gol Haziq Nadzli di babak kedua.

Gol kedua Bergson da Silva di minit ke-82 akhirnya memadam semangat melawan Melaka United selepas beliau telah menyempurnakan hantaran lolos kemas oleh Mohamadou Sumareh. Itu adalah jaringan ke-4 peribadinya dalam saingan Liga Super.

Zainal Abidin turut menegaskan sekali lagi yang gol mudah dilepaskan Melaka United kepada pasukan seperti JDT tidak harus berlaku. Ujarnya, “Kita buat kesilapan, mereka menjaringkan gol. Apabila kita dapat peluang keemasan, kita tidak jaringkan. Apabila kita buat kesilapan, kita kena gandakan setiap kali dapat peluang.”

Kekalahan ini merupakan yang pertama buat Melaka United selepas enam perlawanan dan niat mereka untuk membawa pulang mata daripada Stadium Sultan Ibrahim akhirnya gagal. Mereka kini berada di kedudukan ke-9 liga dengan empat mata.

KREDIT FEATURED IMAGE: MELAKA UNITED

Baca lagi artikel lain mengenai Zainal Abidin Hassan dan Melaka United:

3 Perkara Selepas Zainal Abidin Hassan Kekal Di Melaka United

Melaka United Dihukum Potongan 3 Mata Liga Super

Melaka United: Contoh Budaya Biar Papa Asal Bergaya Dalam Liga Malaysia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN