Zahasmi Ismail: Jika Mampu, Kita Bayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Zahasmi

Ketua jurulatih Kelantan United, Zahasmi Ismail mengakui pasukannya hanya berbelanja mengikut kemampuan kewangan kelab tersebut bagi menghadapi Liga Premier 2020.

Meskipun bergelar pendatang baharu dalam kancah Liga Malaysia, Zahasmi optimis skuad bimbingannya itu tidak akan mengalami sebarang masalah kewangan seperti segelintir pasukan sebelum ini.

Menurut sumber Berita Harian, Zahasmi beranggapan suntikan dana daripada pihak penaja juga dapat mengelakkan keadaan buruk [masalah kewangan] itu berlaku.

“Saya tidak mahu komen berkaitan gaji pemain, bagi saya kita akan berbelanja mengikut kemampuan pasukan, jika mampu kita bayar.

“Namun bagi saya dengan semangat juang tinggi para pemain, selain suntikan dana daripada penaja, saya rasa kita tidak menghadapi masalah berkaitan gaji,” ujar Zahasmi kepada Berita Harian.

Pengendali berusia 52 tahun itu juga turut melaungkan keyakinan untuk memberikan saingan hebat kepada pasukan-pasukan lain dalam saingan liga kedua tertinggi di Malaysia itu.

“Walaupun pendatang baharu, kita akan memberi saingan dan tentangan sengit dalam saingan Liga Premier.”

“Sasaran kita mahu beraksi dalam saingan Liga Super musim depan, tapi kita tidak mahu mengharapkan pasukan `feeder’ yang banyak dalam Liga Perdana, kita bertindak dengan kemampuan pasukan sendiri.

“Mengharapkan pasukan itu (feeder) mungkin menjadi satu perjuangan yang tidak jelas.

“Kita mahu layak ke Liga Super dengan usaha kita sebagaimana kita menjuarai Liga M3 kerana ia lebih bermakna, layak dengan merit bukan atas ihsan.” ujar Zahasmi lagi.

Kredit foto: Kelantan United Football Club

PERCUMA: Bandage Mudah Lekat.

Hak Cipta © Semuanya BOLA Sdn. Bhd. 1179367-U