Bekas pemain Sriwijaya FC yang beraksi dengan Felda United musim ini, Zah Rahan Krangar mengakui menerima tawaran daripada beberapa kelab dari Liga Indonesia dan juga pasukan Liga Super.
Pemain yang berasal dari Liberia ini tidak akan beraksi dengan pasukan Felda United musim depan kerana pihak pengurusan tidak melanjutkan kontraknya.
Sebagai pemain profesional, bekas pemain Persipura Jaya Pura di Indonesia itu menerima keputusan Felda walaupun sedih meninggalkan kelab itu.
Bercakap kepada Stadium Astro, Zah Rahan mahu kekal bermain dalam saingan Liga Malaysia dan enggan kembali semula ke Liga Indonesia.
Zah Rahan akan memutuskan hala tujunya dalam tempoh seminggu ini, namun tetap menyifatkan kancah Liga Malaysia adalah pilihan utamanya.
“Ya, sudah tentu Liga Malaysia adalah pilihan utama saya.
“Jika anda melihat liga-liga dalam ASEAN ketika ini, Malaysia memiliki antara liga yang terbaik. Bukan disebabkan saya bermain di sini tetapi daripada segi taktikal dan pemain-pemainnya sendiri, mereka menghormati pemain lain. Itu perkara paling penting dalam bola sepak,” tambahnya.