Laporan daripada akhbar tempatan, Berita Harian hari ini melaporkan penyerang muda Kedah yang juga penyerang skuad Malaysia Bawah 19 Tahun, Zafuan Azeman akan berlepas ke Korea Selatan bagi menjalani ujian pemilihan bersama kelab Liga K3, Yangju Citizen FC dari 1 hingga 14 Mei ini.
Menurut laporan itu, pengurus pasukan Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin telah mengesahkan mengenai perkara itu.
Beliau berharap penyerang muda itu mampu memikat jurulatih serta pengurusan kelab yang beraksi dalam saingan liga divisyen tiga Korea Selatan itu.
“Peluang menjalani ujian pemilihan bersama pasukan luar negara jarang diperoleh pemain muda kita dan saya harap Zafuan dapat memperagakan aksi terbaik sepanjang dua minggu ujian sekali gus memikat pengurusan pasukan berkenaan.
“Malah, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bersedia melepaskan Zafuan sekiranya terpilih dengan jendela perpindahan pemain di Korea Selatan dijadualkan dibuka Jun ini,” katanya.
Difahamkan Zafuan berjaya menarik perhatian kelab itu ketika mewakili skuad bawah 19 tahun negara dalam pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Korea Selatan, Oktober lalu.
Jaringan Zafuan berjaya membantu Malaysia menewaskan Brunei 1-0 pada minit ke 76.
“Persembahan baik yang ditunjukkan Zafuan menarik minat Yangju Citizen FC untuk mendapatkan khidmatnya dan ini harus dijadikan contoh kepada pemain muda tempatan agar terus berusaha meningkatkan permainan sekali gus berpeluang beraksi di peringkat lebih tinggi.” kata Syed Khairul.
Sebelum ini, penyerang muda yang berasal dari Perlis itu pernah mengintai peluang beraksi di Thailand dan sedang menunggu maklum balas dari satu kelab yang berpangkalan di negara Gajah Perang itu.
“Saya berazam beraksi di peringkat lebih tinggi, jadi saya merancang beraksi di kelab luar negara. Saya sedang menunggu keputusan dari satu pasukan Thailand dan andai diizinkan, saya akan beraksi di sana pada musim hadapan.
“Pada peringkat usia sebegini, penting bagi saya sentiasa dapat beraksi untuk mendapatkan waktu permainan walaupun sekadar menyertai pasukan yang tidak begitu kuat.
“Saya berpendapat inilah langkah terbaik bagi memastikan karier saya mampu berkembang dan pergi lebih jauh,” katanya