Yusri Che Lah Anggap JDT Pasti ‘Tersenyum’ Dengan Keputusan Di Kota Bharu

Perak akhirnya berjaya meraih kemenangan kelima mereka musim ini setelah pasukan tersebut mengejutkan calon juara Liga Premier, Kelantan dengan keputusan 2-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Pada perlawanan tersebut, Perak jelas berjaya mendominasi perlawanan dengan sangat baik meskipun tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Jasmer Mehat, sebelum Wan Zack Haikal kembali menyamakan kedudukan.

Kesilapan Khairul Helmi Johari yang secara tidak sengaja tertampan bola ke gawang sendiri memberi kelebihan buat Perak mendahului tuan rumah sehingga wisel penamat dibunyikan.

Pengendali Perak, Yusri Che Lah jelas bersyukur dengan kemenangan tersebut sambil menjelaskan misi utama mereka hadir untuk merebut tiga mata.

Dalam masa sama, Yusri juga mengucapkan tahniah selain mendoakan buat Kelantan menjuarai Liga Premier musim ini.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana memberikan kemenangan berharga sebenarnya buat kami.

“Dan tahniah juga buat Kelantan, dan saya mendoakan mereka menjadi juara Liga Premier musim ini. Maaf kepada semua peminat TRW, saya faham dengan perasaan mereka apabila tewas di gelanggang sendiri.

“Saya rasa ini kali pertama Kelantan tewas di gelanggang sendiri. Kami hadir dengan misi untuk mendapatkan mata.

“Alhamdulillah terima kasih buat para pemain saya yang berjuang demi pasukan Perak, saya terputus kata-kata kerana mereka telah beraksi di luar kemampuan sebenarnya.

“Saya faham dengan kata-kata ‘This is Kota Bharu’, tak semua boleh beraksi dengan baik di sini dengan cuaca yang panas dan terima kasih kepada pengurusan kerana membenarkan kami tiba lebih awal di sana.

“Ini kerana kami nak merasa sendiri serta menyesuaikan diri dengan suasana di sana lebih awal selain saya sendiri gemar tiba lebih awal,” jelas pengendali tersebut.

Pada masa sama, Yusri juga mengakui ada peningkatan yang dipamerkan oleh para pemain Perak setakat ini, sambil mengingatkan anak-anak buahnya supaya jangan terlalu cepat berpuas hati.

Beliau juga menyatakan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pastinya tersenyum dengan keputusan tersebut setelah pasukannya berjaya menewaskan calon juara Liga Premier semalam.

“Kita main perlawanan petang ini menentang pasukan yang menunggu masa sahaja untuk menjulang piala.

“Tetapi kita sebenarnya telah memberi ruang buat pasukan di tangga kedua iaitu JDT untuk berterima kasih buat kami. Saya rasa JDT lepas tengok keputusan ini mereka tersenyum,” ulas Yusri lagi.

Leave a Reply