Isu tunggakan gaji yang melibatkan pasukan Singa Utara baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Malah, ada yang menyelar tindakan pengendali Liga, Malaysia Football League (MFL) membenarkan Perlis beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini walaupun ada rekod masalah kewangan yang serius tahun lepas.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi, tidak mahu badan itu dilabel sebagai sarkas andai terus membuka peluang kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).
Beliau berkata demikian dalam Stadium Astro ketika diminta mengulas mengenai kegagalan PFA mengemukakan penyata laporan kewangan seperti yang dimahukan MFL.
“Saya tidak fikir kami akan beri penangguhan lagi. Kalau sentiasa ada penangguhan, sudah nampak kami seperti satu jenaka. Daripada MFL, sama ada Perlis boleh memenuhi tuntutan sebelum ini atau kami membuat keputusan lain.
“Kami mungkin perlu menangguhkan sementara jendela perpindahan buat pemain-pemain ini. Jadi, saya fikir itu untuk memberi kelonggaran dan dalam erti kata lain, membantu pemain agar tidak menjadi mangsa keadaan,” jelas Yusoff.
MFL semalam mengesahkan lima daripada tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji sudah menyerahkan dokumen kewangan selepas tempoh diberikan untuk berbuat demikian berakhir petang semalam.
Pasukan lain seperti Kelantan, Kuala Lumpur dan PDRM FA turut mengesahkan sudah menyerahkan dokumen kewangan kepada MFL.
“Kalau KAFA langsung tidak hantar, bermakna cara kerja kami tidak bagus. Kalau betul kami faham apa yang diinginkan MFL, ia tidak akan menjadi masalah,” tambah Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan.