Baru-baru ini Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin membangkitkan idea pengambilan pemain naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya bagi mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara.
Mengulas mengenai idea tersebut, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata kepada Berita Harian, menjelaskan langkah itu diambil bukan untuk menafikan hak pemain tempatan, sebaliknya ia difikirkan sebagai langkah paling sesuai untuk meningkatkan prestasi semasa skuad kebangsaan dalam tempoh yang singkat.
“Idea mengambil pemain naturalisasi adalah untuk kita mempercepatkan perkembangan skuad kebangsaan. Ia juga bukan untuk semua posisi, maknanya bukan kita akan ada 22 pemain naturalisasi, mungkin hanya empat atau lima pemain.
“Macam sekarang tiada penyerang berkualiti, mungkin kita perlu satu atau dua penyerang dari luar untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan.
“Jepun dulu pun guna pemain naturalisasi, tapi tengok mereka berada di mana sekarang? Kita pun tak mungkin terus pakai (pemain naturalisasi). Bila sudah sampai masa dan kita sudah ada pemain skuad pemain tempatan terbaik, kita mungkin tidak perlu lagi pemain naturalisasi.
“Tapi setakat ini memang ada pro dan kontra mengenai perkara ini. Cuma buat buat masa sekarang, kalau kita tunggu pemain kita saja, skuad kebangsaan kita mungkin akan terus ketinggalan atau lambat untuk bangkit,” katanya pada sidang media di Wisma FAM.
Bagaimanapun, Yusoff akui langkah ini nampak terdesak untuk mengembalikan semula kegarangan Harimau Malaya tetapi ianya hanya untuk jangka masa yang pendek sahaja.
“Mungkin langkah ini nampak terdesak, tapi kita nampak bola ini kita bekerja untuk rakyat, jadi kita tengok sudah terlalu lama rakyat menanti sesuatu daripada skuad kebangsaan.
“Ia juga idea Presiden FAM berdasarkan kepada realitinya dan secara realistik. Tapi idea ini belum matang sebab kita perlu bincang dalam mesyuarat Exco untuk diperhalusi.
“Datuk Hamidin juga sudah mengarahkan Setiausaha Agung (Stuart Micheal Ramalingam) mengkaji perkara ini secara teknikal. Ia bukan mudah kerana perlu membabitkan banyak pihak termasuk kerajaan dan sebagainya,” katanya.