Quantcast

BERITA

Yusoff Mahadi Anggap Hukuman Denda Oleh FMLLP Cukup Relevan

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menyokong penuh tindakan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) memotong geran 10 pasukan Liga Malaysia yang dikenakan hukuman denda iaitu RM1.5 juta dan RM500,00 untuk memberi pengajaran kepada semua pasukan bersikap lebih profesional di masa akan datang.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai hukuman denda kepada 10 pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran pasukan mengikut waktu yang ditetapkan.

“Tahun ini kita bagi geran RM3 juta untuk setiap pasukan. Sebelum ini tak pernah pun dapat sebanyak ini. Jadi kalau ikut contoh, katakan pasukan kena tolak RM1.5 juta, mereka masih ada RM1.5 juta lagi sedangkan tahun lepas setiap pasukan Liga Super hanya dapat geran RM1 juta sahaja. Jadi di mana masalahnya? Janganlah cepat emosi!

“Katakanlah kita cuma denda RM100,000 atau RM200,00 sahaja, nanti musim depan mereka (pasukan) buat sambil lewa lagi sebab kononnya denda sikit tak jejas kewangan mereka sebab bukan duit persatuan atau kelab yang keluar.

“Sebab itu kita letak amaun yang tinggi seperti sekarang ini, supaya mereka nampak impak denda yang tinggi dan mereka tak akan ulangi lagi. Jadi, secara tak langsung ia dapat mendidik dan beri kesedaran kepada semua pasukan,” katanya.

Jumlah Denda yang dikenakan oleh FMLLP.

Yusoff yang juga merupakan ahli lembaga pengarah FMLLP menjelaskan, tidak timbul isu jika ada pihak mengatakan FMLLP bertindak kejam kerana denda yang dikenakan itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada kantung setiap persatuan atau kelab dalam liga.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana akan menerima geran bernilai RM3 juta dan RM1 juta mulai hari Rabu ini manakala 10 pasukan yang didenda akan menerima separuh daripada jumlah itu.

Yusoff turut menyifatkan tindakan beberapa pasukan untuk menarik diri daripada Liga Malaysia adalah tidak masuk akal dan ibarat ‘menggali kubur sendiri’.

“Macam MISC-MIFA, musim lepas mereka dapat geran RM500,000, tahun ini bila kena potong RM500,000 mereka masih ada amaun yang sama seperti musim lepas kerana geran Liga Premier berjumlah RM1 juta. Jadi apa yang tak mampunya?

“Nak bina pasukan bukanlah bergantung kepada duit geran sahaja semata-mata. Setiap persatuan atau kelab seharusnya dah ada kantung kewangan masing-masing. Jadi kenapa bila tak dapat geran RM1 juta nak tarik diri? Realistik tak kalau macam tu? Tak kan…?,” soalnya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!