‘Kaki Besi’ Dan ‘Raja Bola Malaya’ – Kisah Lagenda Yang Terkubur Di The British Library

Beberapa hari lepas, rakan saya dari Padang Bola Sepak memaklumkan kepada saya tentang sebuah artikel yang ditulis oleh Dato’ Dr Annabel Teh Gallop, ketua kurator The British Library yang terletak di London.

Kandungan artikel tersebut sangat menarik perhatian saya. Ia mengenai koleksi buku-buku bola sepak Malaya era selepas Perang Dunia Kedua yang disimpan oleh The British Library.

Saya berpendapat peminat bola sepak Malaysia wajar mengetahui kewujudan artifak sejarah bola sepak Malaysia ini.

Jadi saya menulis email kepada Dr Annabel Teh Gallop untuk meminta kebenaran beliau menerbitkan semula gambar-gambar milik The British Library di semuanyabola.com.

Beliau tidak mengambil masa yang lama untuk menjawab email saya. Malah beliau gembira artifak bersejarah ini mempunyai peminat. Beliau juga memberitahu bahawa beliau sebenarnya orang Kedah!

Antara koleksi buku yang dipamerkan beliau dalam artikel itu adalah:

  • Risalat Peraturan Bola Sepak Yang Dinamai Inggeris Fut Bul
  • Chendera Mata Piala Mas 1947
  • Undang2 dan Panduan Bola Sepak
  • Suasana Film dan Sports

1. Risalat Peraturan Bola Sepak Yang Dinamai Inggeris Fut Bul (1895)

Risalat Peraturan Bola Sepak Yang Dinamai Inggeris Fut Bul merupakan buku versi bahasa Melayu (tulisan Jawi) tentang peraturan permainan bola sepak yang dicetak di Singapura pada 1895 – 32 tahun selepas England FA ditubuhkan secara rasmi.

Buku ini diterjemah oleh Mahmud bin Sayid Abdul Kadir al-Hindi dan diterbitkan oleh Lembaga Keadilan Persekutuan Dar al-Adab. Ia dicetak oleh American Mission Press dan dijual pada harga 25 sen sebuah.

Antara kandungan buku ini adalah penerangan tentang posisi pemain bola sepak:

(Sumber: British Library, 14628.b.2)
(Sumber: British Library, 14628.b.2)

Apa yang menarik perhatian saya adalah formasi yang digunakan oleh penulis untuk menerangkan posisi pemain – iaitu formasi 2-3-5 yang popular di British bermula lewat 1870-an.

Untuk pengetahuan anda, formasi 2-3-5 dipopularkan oleh Preston North End yang menjuarai 2 kejuaraan pertama Football Leagues pada musim 1888/1889 dan 1889/1890.

2. Chendera Mata Piala Mas 1947 (1947)

(Sumber: British Library, 14654.m.29)
(Sumber: British Library, 14654.m.29)

Chendera Mata Piala Mas 1947 pula merupakan matchday program bagi Piala Emas Raja-Raja edisi 1947 – kali pertama diadakan semula selepas tamat Perang Dunia Kedua. Kali terakhir pertandingan ini berlangsung adalah pada 1938.

Penyusun buku ini adalah Md. Said bin A. Rahman dan Rahmat bin Jais.

Dalam buku ini, dua penulis ini menceritakan semula kisah beberapa lagenda bola sepak Malaya pada era sebelum Perang Dunia Kedua iaitu:

2.1. Taib bin Haji Ishak

Pemain Selangor era 1935-1941 yang digelar sebagai ‘Tulang Belakang Selangor’.

(Sumber: British Library, 14654.m.29)
(Sumber: British Library, 14654.m.29)

2.2. Syed Alwi bin Syed Md. Alsagoff

Beliau merupakan penyerang dan kapten Kelab Sultan Sulaiman era 1921-1924. Pernah mewakili Selangor dalam Piala Malaya.

(Sumber: British Library, 14654.m.29)
(Sumber: British Library, 14654.m.29)

2.3. Md. Said bin Othman

Kapten skuad Negeri Sembilan.

2.4. Dool bin Budin

Bekas pemain Negeri Sembilan dan pengadil terkenal.

2.5. Abdul Fattah bin Abdullah

Dikenali sebagai Dolfattah, Abdul Fattah bin Abdullah digelar Raja Bola Sepak Malaya sebelum Perang Dunia Kedua. Beliau meninggal dunia pada tahun 1945.

(Sumber: British Library, 14654.m.29)
(Sumber: British Library, 14654.m.29)

Mengikut cerita dalam buku ini, semasa pasukan bola sepak Melayu Singapura membuat jelajah ke Sumatera, penduduk di sana membuat kain rentang yang tertulis:

DOLFATTAH – RAJA BOLA SEPAK MALAYA – KAMI DAH LIHAT GAMBARNYA – KAMI DAH BACA BERITANYA – KINI BELIAU BERADA DI SINI

Dolfattah dikatakan sangat handal bermain bola sepak sehinggakan beliau mampu bermain di mana-mana posisi di seluruh padang – termasuklah penjaga gol.

Dalam satu perlawanan persahabatan di sana, Dolfattah tak dapat bermain kerana masalah kecederaan. Penonton perlawanan semuanya menjerit:

“Kembalikan wang kami! Tiada gunanya menonton perlawanan tanpa Dolfattah!”

Dolfattah terpaksa masuk ke padang dan menunjukkan mukanya untuk memuaskan hati penonton di padang. Sebelum meninggal dunia, Dolfattah berhijrah ke Medan untuk menjadi jurulatih di sana.

2.6. Mohd. Yusoff bin Tahir

Beliau merupakan pemain centre-half Selangor era 1920-an dan diberi digelar Kaki Besi kerana mampu membuat tendangan yang deras dan kencang walaupun berkaki ayam.

Menurut cerita buku ini, kakinya kuat ‘seperti kuda’ dan sangat dikenali oleh peminat dan pemain lain.

(Sumber: British Library, 14654.m.29)
(Sumber: British Library, 14654.m.29)

3. Undang2 dan Panduan Bola Sepak (1961)

(Sumber: British Library, 14654.w.241)
(Sumber: British Library, 14654.w.241)

Buku ini merupakan buku versi bahasa Melayu (tulisan Rumi) tentang peraturan bola sepak yang lebih terkini berbanding Risalat Peraturan Bola Sepak Yang Dinamai Inggeris Fut Bul yang dicetak pada 1895.

Ia diterjemah oleh H.A.B. Mansor, bekas pemain dan pengadil, dan diterbitkan di Pulau Pinang pada 1961.

Buku ini mengandungi peraturan bola sepak yang baru pada ketika itu iaitu:

  • pasukan dibenarkan untuk mengguna 1 pemain gantian
  • pemain dikira ofsaid apabila beliau berada lebih dekat dengan pintu gol berbanding pemain lawan yang kedua terakhir (sebelum ini pemain lawan ketiga terakhir)

4. Suasana Film dan Sports (1963)

(Sumber: British Library, Or.Mic.12061)
(Sumber: British Library, Or.Mic.12061)

Majalah yang menggabungkan berita industri hiburan dan sukan ini mula-mula diterbitkan pada Jun 1963 dan mempunyai gambar pelakon Kasma Booty di bahagian cover majalah.

Majalah ini dijual dengan harga 25 sen.

Kesimpulan

Menurut Dr Annabel, 4 buku bola sepak ini hanya sebahagian kecil daripada koleksi sejarah bola sepak negara kita yang tersimpan rapi di The British Library. Beliau berjanji akan mendedahkan lebih banyak lagi pada masa akan datang.

Bagi saya, agak malang apabila artifak sejarah bola sepak negara kita berada di bumi London. Bukannya di tanah air – tempat sejarah tersebut dicipta.

Tetapi sekurang-kurangnya sejarah bola sepak negara kita berada dalam jagaan yang baik oleh The British Library.

Artikel asal boleh dibaca di laman web The British Library.

 

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN