Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusof Mahadi mengesahkan penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat akan terus menyarung jersi Melaka United untuk saingan Liga Malaysia 2019.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian menjelaskan Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai Apek adalah pemain tunggal musim ini yang menyatakan persetujuan awal untuk kekal.
“Tawaran akan dikeluarkan kepada bekas penjaga gol Kelantan itu dalam tempoh terdekat sambil mengharapkan tiada sebarang halangan terhadap persetujuan awal berkenaan.
“Walaupun masih terlalu awal untuk berbicara berkaitan kontrak, namun kenyataan Apek membuktikan komitmen dan kesungguhannnya memperkasa skuad Hang Tuah,” katanya.
Selain Apek, Melaka United turut memiliki dua penjaga gol simpanan iaitu Mohd Zamir Selamat dan Mohd Fazli Paat.
Mohd Yusof turut mengakui Melaka United sememangnya sangat memerlukan sumbangan penjaga gol berpengalaman itu bagi mengisi benteng terakhir pasukan.
Apek yang menyertai Melaka United pada pertengahan musim ini dilihat antara tunjang utama skuad itu layak ke pentas Piala Malaysia, walaupun tersekat dalam cubaan untuk melangkah ke suku akhir.
Musim ini, Melaka United turut memiliki ramai pemain terbaik tempatan, termasuk R Gopinathan, S Chanturu, Azmi Muslim, Fakri Saarani, R Surendran dan Faderin Kadir.
Difahamkan, kontrak semua pemain import Melaka United musim ini tidak akan disambung untuk musim depan kecuali penyerang import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun termasuk dalam proses mencari pengganti ketua jurulatih, E. Elavarasan.