Kelab Liga Perdana Inggeris, Newcastle United mengumumkan mereka sah menandatangani penyerang Jepun, Yoshinori Muto dari kelab Bundesliga, Mainz menerusi kontrak selama empat tahun.
Newcastle minggu lalu menyatakan sudah mencapai persetujuan dengan Mainz untuk mendapatkan pemain itu. Perpindahan Muto lengkap hari ini selepas dia memperoleh permit kerja.
“Saya amat berbangga dapat beraksi bersama kelab sebesar ini,” kata Muto yang muncul pemain Jepun pertama menyertai Newcastle.
Rafa Benítez: "I am really pleased to have Yoshinori Muto with us. We were following him for quite a while. Hopefully he can bring us his energy and work-rate and help the team to improve and be better for the new season.” #NUFC pic.twitter.com/N6BIhdriZm
— Newcastle United FC (@NUFC) August 2, 2018
Media British melaporkan nilai perpindahan Muto adalah sekitar AS$12.40 juta (RM50 juta).
“Saya berharap dapat meraih keputusan yang baik. Sebab itu saya mahu berada di sini. Saya juga mahu beraksi dengan baik dan berada dalam sejarah Newcastle,” katanya.
Pemain yang berasal dari Tokyo itu, sudah 3 musim beraksi dalam saingan Bundesliga bersama FSV Mainz, selepas berhijrah dari kelab J-League, FC Tokyo pada musim 2015.
Sepanjang 3 musim beraksi bersama FSV Mainz, Yoshinori Muto telah membuat 66 penampilan dengan 20 gol dijaringkan oleh pemain yang berusia 26 tahun itu.
Selain Newcastle United, sebuah lagi kelab Liga Perdana Inggeris yang berminat untuk mendapatkan khidmat Yoshinori Muto adalah West Ham United serta beberapa buah lagi kelab di Bundesliga.
Pada musim 2014, Yoshinori Muto menandatangani kontrak profesional pertama bersama kelab J-League, FC Tokyo dan ketua jurulatih ketika itu Massimo Ficcadenti membuat keputusan untuk menggunakan beliau sebagai pemain utama.
Pencapaian paling hebat Muto pada musim pertama adalah berjaya menyamai rekod jaringan ‘debut season’ J1 League dengan menjaringkan 13 gol dari 33 penampilan.