YNWA Antara Faktor Liverpool Harus Optimis Gelaran Liga Bakal Kembali Ke Anfield

Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berbaki enam perlawanan sebelum ianya melabuhkan tirainya pada Mei. Liverpool hanya dipisahkan dengan satu mata. Ini bermakna setiap perlawanan yang akan dilalui selepas ini sangat penting. Sebarang mata yang tercicir boleh mengakibatkan harapan bergelar juara punah sekelip mata.

Walaupun Manchester City berjaya menampilkan prestasi meyakinkan kebelakangan ini, Liverpool tetap yakin mereka mampu bergelar juara Liga Perdana Inggeris pada musim ini. Kedudukan terkini mungkin tidak memihak kepada mereka. Namun faktor-faktor yang disenaraikan di bawah mungkin akan mengubah pendapat anda.

Benteng pertahanan yang utuh

Untuk menjadi yang terbaik, anda harus belajar dari yang terbaik. Manchester United mungkin boleh bermegah dengan 20 kejuaraan milik mereka pada hari ini, namun Liverpool seolah-olah mempelajari sesuatu dari era kegemilangan seteru mereka itu ketika di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson.

Pengurus legenda itu pernah berkata: “Untuk memenangi perlawanan, anda harus menyerang, tetapi bertahan akan memberikan anda kejuaraan.” Jika formula ini yang dijadikan panduan – maka Liverpool berpeluang cerah untuk bergelar juara pada musim ini.

Hari ini Liverpool memiliki gol dibolosi paling sedikit di Liga Perdana Inggeris dengan 19 gol berbanding Manchester City yang dibolosi 21 kali. Kualiti yang ditunjukkan oleh Virgil van Dijk dalam perlawanan menentang Totenham Hotspur ketika menang 2-1 ke atas kelab London itu membuktikan Liverpool kini mempunyai antara benteng terutuh di dalam bola sepak Inggeris.

Virgil van Dijk perbaiki benteng Liverpool musim ini. (Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Baki perlawanan lebih mudah

Selepas 32 perlawanan, ini bermakna Manchester City dan Liverpool masing-masing berbaki 6 perlawanan sebelum musim 2018/19 melabuhkan tirai. Pada masa ini, Manchester City mempunyai kelebihan hanya satu mata ke atas Liverpool.

Namun sekiranya baki saingan diselidiki, skuad kendalian Pep Guardiola mempunyai perlawanan yang lebih sukar untuk mereka hadapi. The Citizen perlu berhadapan Totenham Hotspur di Etihad pada 20 April dan seteru setempat Manchester United pada 25 April di Old Trafford. Kedua-dua lawan City itu sedang bergelut untuk menamatkan musim di kalangan empat pasukan teratas yang kini terbuka untuk direbuti oleh empat pasukan.

Manakala Liverpool pula akan berhadapan dengan Chelsea yang berada dalam situasi serupa dengan Spurs dan United pada 14 April di Anfield. Bagaimanapun mereka terlebih dahulu harus berhadapan dengan Southampton pada awal pagi nanti – yang kini sedang berusaha untuk keluar dari zon bahaya.

Chelsea menjadi satu-satu pasukan dari enam pasukan utama EPL yang akan dihadapi Liverpool. (Photo by Justin Setterfield/Getty Images)

Masalah kecederaan dan kecergasan

Menjelang perlawanan menentang Southampton pada awal pagi nanti, Klopp mengesahkan Joe Gomez dan Alex Oxlade-Chamberlain telah pulih sepenuhnya dari kecederaan panjang yang mereka alami sebelum ini. Ini bermakna Klopp memiliki skuad penuh untuk dipilih menjelang perlawanan menentang Southampton dan lima baki perlawanan selepas ini.

Tatkala musim menuju ke penghujung, dan saingan di Eropah juga bakal tiba, penggiliran pemain mungkin perlu dilakukan oleh Klopp dalam beberapa aksi selepas ini.

Berbanding Liverpool, Manchester City mempunyai beberapa kerisauan terhadap tahap kecergasan pemain mereka. Sergio Aguero tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Cardiff City, dan pemain pertahanan, Benjamin Mendy terpalit dengan isu disiplin di luar padang. Belum boleh dipastikan mengenai pendirian Pep Guardiola mengenai pemain dari Perancis itu, namun Mendy tidak berada di dalam skuad menentang Cardiff tempoh hari.

Situasi berbeza dari segi kecederaan dan kecergasan di kem Manchester City. (Photo by Alex Livesey/Getty Images)

Kerana Jurgen Klopp

Tiga tahun yang lalu, Liverpool adalah kelab yang berada di dalam krisis – ketika di bawah kendalian Brendan Rodgers. Bekas jurulatih Swansea itu dipecat, dan Jurgen Klopp mengambil alih pada Oktober 2015. Mereka tidak pernah menoleh ke belakang selepas itu, dan pengurus Jerman itu mulai bekerja membina ‘Liverpool baru’ – berdasarkan falsagah bola sepak moden yang membuatkan anda teruja setiap kali menyaksikan aksi bertenaga pasukan ini.

Untuk itu, Liverpool harus berterima kasih kepada Klopp. Beliau bukan sahaja membina pasukan ini dengan falsafah dan corak permainan menarik. Lebih dari itu, Klopp berjaya menyatukan pemain dengan kesungguhan, kepercayaan, dan menanamkan keyakinan kepada pemain untuk apa yang mereka bakal capai.

Beteraskan corak permainan menyerang, tidak pernah sekali pun Klopp menyalahkan pemain – walaupun aksi dipamerkan kurang memberangsangkan. Malah bekas pengurus Borussia Dortmund ini bijak mengalihkan prestasi buruk di atas padang kepada lain, angin, padang, rumput, atau apa sahaja – asalkkan beliau berada di belakang pemain. Bukan sahaja beliau cemerlang di dalam aspek taktikal, tetapi Klopp juga adalah seorang pengurus yang cemerlang dari segi ‘man management’.

Jurgen Klopp sentiasa di belakang pemain. (Photo by Stu Forster/Getty Images)

Penyokong setia

Antara perkara lain yang membuatkan Liverpool sebagai sebuah kelab bola sepak yang istimewa adalah kerana penyokong mereka yang sentiasa bersungguh-sungguh di belakang pasukan mereka – walaupun gagal meraih sebarang kejuaraan liga sejak 29 tahun yang lalu.

You’ll Never Walk Alone adalah lagu tema kepada Liverpool. Tetapi ia bukan sekadar nyanyian. Ia adalah simbol kesetiaan dan semangat kebersamaan luar biasa yang ditanam oleh penulis lirik lagu tersebut, Oscar Hammerstein II dan digubah bersama Richard Rodgers pada 1945.

Berdasarkan maksud tersirat di sebalik lagu ini, musim 2018/19 adalah peluang terbaik untuk Liverpool membalas kepercayaan penyokong-penyokong mereka yang tidak pernah berpaling tadah taat setia kepada kelab – dengan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama sejak ia diperbaharui pada 1992.

Penyokong setia Liverpool (Photo by Nick Taylor//Liverpool FC via Getty Images)

Penutup

Bagaimana dengan penyokong Liverpool di Malaysia? Anda yakin kelab kesayangan anda akan bergelar juara Liga Perdana Inggeris pada penghujung musim nanti.

Anda mempunyai sebab lain untuk optimis? Kongsikan dengan kami di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN