Bekas pertahanan import Selangor iaitu Yazan Al-Arab mengakui beliau sangat rindu akan suasana di Malaysia serta para penyokong bola sepak The Red Giants.
Yazan menjadi antara pemain yang memainkan peranan cukup penting pagi tadi bersama Jordan bagi aksi Kumpulan E untuk Piala Asia 2023 menentang Malaysia.
Pada aksi tersebut, Jordan berjaya mendapatkan kemenangan sulung mereka menerusi keputusan penuh 4-0 untuk mengatasi Malaysia yang tampil serba tidak menyakinkan.
Malah, aksi Yazan sendiri dianggap sangat mencuri tumpuan selepas pertahanan tersebut berjaya memastikan Jordan langsung tidak dibocori Harimau Malaya sepanjang aksi berlangsung.
Nama pemain sebenarnya sudah cukup sinonim dalam saingan Liga Malaysia sejak awal penyertaan beliau bersama Selangor pada tahun 2022.
Tampil dengan prestasi menyakinkan, pasukan tersebut terus mengekalkan pemain itu pada musim lalu sebelum suatu perkara dilakukan oleh Yazan sehingga pemain itu tidak lagi dibenarkan beraksi di Malaysia.
Kontrak Yazan bersama Selangor terpaksa dihentikan serta merta pada Oktober tahun lalu, selepas kesalahan beliau menyepak belakang pengadil ketika aksi berdepan Terengganu.
Disebabkan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasminya memberi hukuman penggantungan aksi seumut hidup di sana selain kontraknya juga ditamatkan Selangor atas persetujuan bersama.
Jelas Yazan, beliau sudah pun mengakui kesilapan tersebut serta membuat permohonan maaf sehingga menyaksikan dirinya digantung oleh FAM.
“Ia adalah saat sukar bagi saya dalam perlawanan menentang Terengganu. Apabila perkara itu berlaku, ia adalah saat yang sukar.
“Saya hidup selama tiga bulan dengan tidak bermain apa-apa perlawanan dengan mana-mana pasukan selepas insiden itu.
“Saya merindui peminat Malaysia terutama peminat Selangor kerana semua orang sentiasa menyokong kami dan sentiasa di belakang kami.
“Apapun saya ingin mengucapkan tahniah untuk Selangor yang pergi ke Liga Juara-Juara Asia 2. Semoga mereka dapat melakukan sesuatu,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Pada masa sama, Yazan juga mahu rakan sepasukannya di Jordan memberi perhatian penuh untuk dua lagi aksi peringkat Kumpulan E di saingan Piala Asia.
“Kami menghormati Malaysia, kami cuba menekan pada separuh masa pertama dan berjaya menjaringkan tiga gol. Pada separuh masa kedua kami cuba bermain dalam tekanan dan berjaya menjaringkan gol lain serta mendapatkan tiga mata.
“Kami berada di puncak dan perlu fokus pada perlawanan seterusnya untuk mara ke pusingan 16 terbaik,” katanya akhir sekali.