Quantcast

BERITA

Yannick Carrasco: Saya Berhasrat Kembali Ke Eropah, Mahu Tunggu Keputusan Dari Presiden Kelab

Pemain Belgium, Yannick Carrasco membuka peluang untuk menyertai kelab Eropah selepas menyatakan hasrat untuk berhijrah dari China.

Carrasco kini bermain di Liga Super China bersama kelab Dalian Yifang selepas berpindah dari Atletico Madrid pada tahun 2018.

Namun, selepas menjalani tempoh selama 18 bulan di China, Carrasco kelihatan berhasrat untuk ‘pulang’ semula ke Eropah.

“Terdapat tawaran dari Arsenal dan banyak juga pasukan lain pada bulan Januari ini, memberikan peluang kepada saya untuk kembali ke Eropah, tetapi buat masa ini, presiden [Dalian Yifang] seperti sukar untuk melepaskan saya pergi,” kata Carrasco.

Keputusan presiden

Bola sepak Eropah dikejutkan dengan berita perpindahan Carrasco ke Dalian Yifang pada Febuari 2018 dengan harga €30 juta.

Beliau menandatangani kontrak sehingga 31 Disember 2022, serta menerima pendapatan gaji sekitar €8.98 juta setahun.

Arsenal antara pasukan yang paling terkesan dengan berita perpindahan itu. Mana tidaknya, skuad The Gunners sebelum ini menunjukkan minat yang mendalam untuk merekrut bintang berusia 25 tahun itu.

Sehingga kini pun, Arsenal masih tidak berputus asa untuk mendapatkan Carrasco dari Dalian Yifang.

Terdapat sumber mengatakan bahawa selain Arsenal,  Manchester United juga sedang cuba mengadakan perbincangan dengan menawarkan harga perpindahan kepada kelab China tersebut.

Namun setakat ini masih belum dengar ura-ura perbincangan perpindahan Carrasco itu dipersetujui dan mendapat ‘lampu hijau’ oleh presiden Dalian Yifang.

Perkara itu turut diakui sendiri oleh Carrasco. Beliau berkata, pengurusan tertinggi kelab belum menunjukkan tanda-tanda untuk melepaskannya buat masa ini.

“Jika keputusan ini adalah pilihan yang terbaik, mungkin presiden akan mempertimbangkan hal ini [jual Carrasco] dan kemungkinan saya akan dilepaskan pada musim panas ini.”

“Jika terdapat banyak pasukan yang mahukan saya, tetapi presiden memutuskan saya kekal, saya tidak boleh berbuat apa-apa.”

Saya Ok!

Carrasco bagaimanapun menafikan dakwaan yang mengatakan beliau tidak selesa dengan suasana di China sehingga membuatkan dirinya mahu kembali ke Eropah.

Beliau berkata, “Saya OK di sini, kelab baik dengan saya, pemain dan peminat juga serasi dengan saya.”

”Semua orang mahu berada dekat di samping keluarga, begitu juga saya yang memilih untuk kembali ke Eropah.”

”Saya fikir ia adalah penyelesaian yang terbaik jika saya pulang ke Eropah selain dapat berada di sisi keluarga, saya juga boleh melakukan perkara yang baik dalam permainan Eropah.”