Dalam segmen kali ini kami akan menyenaraikan 11 pemain terbaik untuk minggu ke-5 unifi Liga Super Malaysia (MSL 2018). Pemilihan kali ini adalah berdasarkan perlawanan pertama yang berlangsung pada Jumaat 9 Mac 2018 sehingga Ahad, 11 Mac 2018.
Kriteria pemilihan kami adalah berdasarkan rating pemain yang wakil kami letakkan dalam setiap perlawanan yang ditonton atau disaksikan. Dan formasi pilihan kami pada kali ini ialah 4-3-3.
Penjaga gol- Farizal Marlias (JDT)
Tiba dalam perlawanan ini, Farizal bakal berhadapan dengan antara pasukan yang paling produktif di hadapan gol sepanjang empat minggu MSL sebelum ini.
Aksi Marlias menampan keluar percubaan Tchetche Kipre dalam situas satu lawan satu adalah ‘highlight’ utama, selain daripada keyakinan beliau mematahkan gerakan set-pieces lawa.
Bek kiri- Qayyum Marjoni (PKNS FC)
Beraksi sebagai bek kiri, Qayyum meneruskan aksi cemerlang beliau pada musim ini dengan membentuk persefahaman mantap bersama Faris Ramli di bahagian serangan PKNS FC.
Pantas membantu bahagian pertahanan ketika diperlukan, larian Qayyum dan hantaran satu dua bersama Faris Ramli turut beberapa kali memerangkap pertahanan Kelantan.
Bek tengah- Rodney Celvin Akwensivie (PKNS FC)
Pemain berdarah kacukan Bidayuh-Afrika ini baru berusia 21 tahun. Namun persembahan beliau di atas padang terus menunjukkan peningkatan dan kematangan yang diperlukan di tahap tertinggi.
Antara kualiti yang dimilikinya ialah bijak membaca gerakan lawan. Berhadapan penyerang seperti Mohamed Ghaddar, Rodney tidak gentar dan berjaya merantai gerakan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu itu.
Panggilan ke skuad kebangsaan? Ia pasti hampir buat Rodney.
Bek tengah- Shahrol Saad- (Perak TBG)
Jeneral di bahagian benteng pertahanan skuad Seladang. Itulah yang boleh kami ungkapkan terhadap prestasi Shahrol Saad ketika bertemu Selangor.
Tenang dalam mengekalkan disiplin rakan sepasukan ketika menyerap asakan jentera serangan Selangor, pemain ini turut menghasilkan satu bantuan gol dalam perlawanan ini.
Bek kanan- Amirul Azhan (Perak TBG)
Bersama-sama Kenny Palraj di sebelah kanan, sumbangan Amirul Azhan mematikan serangan Selangor dari sebelah kanan juga merupakan kunci kejayaan skuad Perak TBG pada malam tadi.
Berhadapan dengan Amri Yahyah dan juga Rufino Segovia, disiplin adalah asas kecemerlangan prestasi kepada Amirul dalam perlawanan ini.
Pemain tengah- Faris Ramli (PKNS FC)
Corak permainan mengujakan, kreatif dan tidak gentar berhadapan lawan yang mempunyai susuk tubuh yang lebih besar, pemain dari Singapura ini adalah antara penggerak jentera serangan skuad Semut Merah ketika berhadapan Kelantan.
Lonjakan tinggi untuk menanduk kencang hantaran rakan sepasukan, sebelum tenang menyudahkan bola muntah daripada Khairul Fahmi, Faris adalah pemain yang harus diberikan lebih tumpuan kepada mana-mana lawan selepas ini.
Pemain tengah- Hariss Harun (JDT)
Sistem permainan JDT ketika menentang Terengganu FC dibina berpaksikan Hariss Harun. Pada separuh masa pertama, adakalanya Hariss bertindak sebagai half-back untuk membantu pemain pertahanan mematikan langkah Tchetche Kipre.
Manakala pada separuh masa kedua, disiplin di bahagian tengah menyaksikan fokus yang dimiliki oleh pemain ini membantu JDT untuk kekal kompak di bahagian tengah, dalam memberi perlindungan kepada benteng akhir pertahanan.
Pemain tengah- Safuwan Baharuddin (Pahang)
Bergandingan dengan Azam Azih untuk menggerakkan jentera tengah Tok Gajah, Safuwan sebenarnya adalah seorang pemain tengah bertahan.
Tetapi bagaimana kita boleh manafikan prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh beliau dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan dengan terhasilnya dua bantuan gol.
Gerakan cantik dan mudah satu dua dengan Forkey Doe sebelum pemain import tersebut merembat kencang untuk gol pertama perlawanan, membuktikan ketenangan yang dimiliki oleh pemain ini.
Penyerang- Patrick Cruz (Pahang)
Dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan dalam kemenangan menentang Negeri Sembilan, nama Patrick Cruz sudah mulai tidak lekang di bibir peminat bola sepak Pahang.
Selain daripada kebolehan teknikal yang baik, sentuhan penyudah beliau untuk gol pertama skuad kendalian Tok Gajah bermakna pemain ini mempunyai naluri pembunuh yang tajam ketika berada di hadapan gawang.
Siapa yang boleh menyalahkan Dollah Salleh untuk berasa optimis akan peluang Pahang pada musim ini jika konsistensi Cruz jadi pertaruhan?
Penyerang- Yahor Zubovich (Melaka United)
‘The Belarus Torpedo’. Itulah nama gelaran yang diberikan kepada Yahor Zubovich atas kecemerlangan beliau bersama Melaka united pada musim ini.
Lima gol yang dijaringkan oleh Zubovich untuk Melaka United setakat ini, dijaringkan di Stadium Hang Jebat.
Prestasi cemerlang Zubovich adalah sebab utama Melaka United mampu menduduki tangga ke-4 tangga unifi Liga Super Malaysia 2018 selepas minggu kelima.
Penyerang- Pablo Pallares (Kedah FA)
Tidak banyak yang boleh diperkatakan di dalam perlawanan membabitkan pasukan Kuala Lumpur dan Kedah, kecuali kesilapan-kesilapan di bahagian pertahanan oleh kedua-dua pasukan.
Tetapi tumpuan tentu terarah kepada Pablo Pallares yang tampil menunjukkan bisa dengan ledakan dua gol dalam perlawanan ini.
Selain daripada menamatkan kemarau gol sejak perlawanan minggu pertama menentang JDT, dua gol oleh Pallares tersebut membuktikan kebijaksanaan pemain itu mencari ruang untuk berada di tempat yang tepat pada masa yang sepatutnya untuk menjaringkan gol.
Pablo Pallares bukan masalah Kedah?
Barisan pemain simpanan:
Zamir Selamat (Melaka United)
Fadli Shas (JDT)
Paulo Josue (Kuala Lumpur)
D. Kenny Pallraj (Perak)
Francis Forkey Doe (Pahang FA)
Penutup
Enam perlawanan diadakan sepanjang hujung minggu lalu, membabitkan kesemua 12 pasukan unifi Liga Super Malaysia.
18 gol turut dijaringkan dalam enam perlawanan tersebut, yang diadakan di enam venue tumpuan pada minggu ini.
Mampukah pemain-pemain di atas mengekalkan konsistensi masing-masing untuk menjadi sandaran pasukan masing-masing pada minggu ke-6?