XI Pilihan Semuanya BOLA Untuk Liga Super 2019

Saingan Liga Super Malaysia (MSL 2019) sudah pun rasmi melabuhkan tirainya pada malam tadi. Felda United menjadi pasukan yang terselamat daripada disingkirkan ke Liga Premier pada musim hadapan, pada hari terakhir liga.

Sebentar tadi, MFL turut mengumumkan PDRM akan dinaikkan ke Liga Super 2020 selepas psukan tempat ketiga Liga Premier, Pulau Pinang dinafikan hak promosi oleh FIFA akibat kes terdahulu.

Siapakah pemain paling menyerlah pada musim ini. Berikut adalah pemain pilihan kami di Semuanya BOLA.

XI Pilihan Semuanya BOLA Untuk Liga Super 2019

Penjaga gol: Helmi Eliza (Pahang FA)
Empat penjaga gol memiliki enam clean sheet pada musim ini selepas setiap pasukan mengharungi 22 perlawanan pada musim ini. Mereka adalah Farizal Marlias (JDT), Helmi Eliza (Pahang), Ifwat Ahmad (Kedah) dan juga Khairul Fahmi (Melaka United).

Helmi Eliza menjadi pilihan kami bukan sekadar kerana usia dan pengalaman yang beliau miliki. Pada usia 36 tahun, Helmi hanya beraksi 15 perlawanan pada musim ini – tetapi masih mampu memiliki jumlah clean sheet seperti penjaga gol lain.

Helmi
FOTO: Pahang FA

Bek kanan: P. Rajes (PJ City FC)
Ketika melihat kepada senarai calon bek kanan yang beraksi di Liga Malaysia, pilihan kami pada mulanya terarah kepada Matthew Davies (Pahang), atau pun S. Kunanlan (JDT). Tetapi ketika nama P. Rajes dicalonkan oleh salah seorang editor kami, nama ini nyata sukar untuk tidak disenaraikan.

Lincah di sebelah kanan sebagai bek sayap dalam sistem 3 pertahanan K. Devan, Rajes beraksi dalam 20 perlawanan liga, dan menjaringkan 1 gol. Tetapi beliau adalah bek kanan yang paling banyak terlibat dengan jaringan pada musim ini, dengan 4 bantuan gol. Pencapaian yang menakjubkan untuk seorang pemain berusia 34 tahun.

Foto: Berita Harian

Pertahanan tengah: Herold Goulon (Pahang)
Lupakan sebentar jaringan dari tengah padang oleh Herold Goulon yang dicanang akan ke pertandingan Puskas. Kerana itu berlaku di pertandingan Piala FA. Tidak boleh diragui pemain import daripada Perancis ini adalah antara pembelian pemain paling berbaloi di saingan Liga Super Malaysia bagi musim ini.

Bukan sahaja memiliki kelebihan fizikal yang kuat untuk melakukan tugas bertahan. Goulon juga merupakan senjata sulit Dollah Salleh pada musim ini untuk memburu jaringan – terutama ketika barisan serangan kelihatan seperti hilang punca.

Herold Goulon Chanturu Pahang Felda
FOTO: MFL

Pertahanan tengah: Mauricio dos Santos (JDT)
Bekas pemain pertahanan Sporting CP dan Lazio ini adalah nadi penting di bahagian pertahanan JDT pada musim ini. Untuk rekod, JDT muncul sebagai pasukan paling sedikit musim ini yang dibolosi dengan 19 gol – atau pada ratio 0.86 jaringan untuk setiap 90 minit perlawanan.

Musim ini Mauricio beraksi bersama Adam Nor Azlin, Aidil Zafuan dan Fadhli Shas secara bersilih ganti. Namun 17 penampilan di liga pada musim ini, pemain pertahanan yang memiliki ketinggian 1.85m itu adalah tembok kekuatan benteng JDT pada musim ini.

Bek kiri: Corbin Ong (JDT)
Ini adalah musim kedua Corbin Ong beraksi bersama skuad Harimau Selatan. Harus diakui pemain berdarah kacukan Malaysia-Kanada ini adalah bek kiri paling konsisten di Liga Super pada musim ini.

Pada tahun ini, pemain berusia 28 tahun ini beraksi dalam 18 perlawanan liga untuk juara Liga Super itu. Tangkas ketika bertahan dan mematikan serangan lawan di bahagian pertahanan sisi, Corbin juga merupakan ancaman untuk JDT melalui larian dan hantaran silang untuk membantu rakan menjaringkan gol.

Corbin Ong JDT Perak
FOTO: Johor Southern Tigers

Pemain tengah: Leandro Dos Santos (Perak)
Ini adalah musim ketiga Leandro beraksi bersama Perak, cukup untuk menjelaskan betapa pentingnya peranan pemain tengah dari Brazil ini untuk skuad kendalian Mehmed Durakovic. Mempunyai perwatakan yang garang lagak seperti jeneral di tengah padang, karenah beliau seing kali menjengkelkan pemain dan pegawai pasukan lawan.

Namun itulah perwatakan dan peranan sebenar beliau. Beraksi sebagai pemain tengah bertahan, Leandro berperanan mematahkan serangan lawan bukan sahaja dari segi peranan taktikal, tetapi turut berfungsi menguji kekuatan pemain lawan dari segi kekuatan mental. Pada kami, Leandro adalah pemain yang unik di Liga Super Malaysia.

Perak

Pemain tengah: Lee Tuck (Terengganu FC)
Lee Tuck adalah antara nama yang akan berada di dalam kesebelasan utama ini secara automatik. Merupakan pemain Terengganu FC paling konsisten di sebalik musim serba tidak kena, pemain berbangsa Inggeris ini adalah nadi utama kepada kekuatan pasukan dari Pantai Timur itu pada musim ini.

Musim ini Lee Tuck hanya menjaringkan 4 gol dari 16 penampilan liga. Bagaimanapun sumbangan beliau sehingga menjadi pemain dengan bantuan gol terbanyak yang menjadi perhatian. Secara keseluruhan, Lee Tuck telah menghasilkan 6 bantuan gol.

Sarkunan, Lee Tuck, Terengganu FC
FOTO: MFL

Pemain sayap kanan: Patrick Reichelt (Melaka United)
Pemain import Melaka United ini bukan sahaja berjaya membantu Melaka menyerlah pada musim ini dengan jaringan-jaringannya. Malah Patrick Reichelt mewakili pemain import terbaik dari rantau ASEAN yang beraksi di saingan Liga Super pada musim ini.

Adakalanya ia seolah-olah beliau seperti sendirian memikul Melaka di bahunya. 10 gol jaringan Reichelt dari posisi pemain sayap menjadikan beliau antara lima penyerang paling berbahaya di Liga Super pada musim ini.

Melaka United
Patrick Reichelt, pemain import dari Filipina yang menyinar bersama Melaka United. Foto: MUSA

Pemain sayap kiri: Safawi Rasid (JDT)
Benar, kami tahu Safawi Rasid beraksi kebanyakkannya sebagai penyerang sayap di sebelah kanan sepanjang musim ini bersama JDT. Tetapi pemain ini juga mampu beraksi dimana-mana bahagian serangan, termasuk di sebelah kiri – kerana kualiti yang dimiliki oleh beliau.

Tidak syak lagi Safawi adalah pemain tempatan terbaik yang beraksi di saingan Liga Super Malaysia. 8 gol jaringan beliau untuk JDT turut menjadikan Safawi sebagai penjaring gol tertinggi di kalangan pemain tempatan pada musim ini.

Safawi Rasid JDT Terengganu

Pemain tengah menyerang: Ifedayo Olesegun (Selangor)
Di atas kertas, Ifedayo Olesegun adalah seorang penyerang. Tetapi kerana mobiliti yang dimiliki pemain ini, maka kami meletakan beliau sebagai pemain tengah menyerang, atau anda bolah sahaja melabelkan Ifedayo sebagai penyerang kedua dalam sistem 4-2-3-1 yang kami pilih ini.

Ifedayo tiba menyertai Selangor pada jendela perpindahan kedua musim ini. Namun pemain ini tampil sebagai penyerang paling berbisa di Liga Super walaupun hanya beraksi separuh musim dengan ratio jaringan 1.3 jaringan untuk setiap 90 minit permainan – tertinggi diantara semua pemain di MSL 2019.

Penyerang: Kpah Sherman
Kpah Sherman menepati ramalan kami sebagai antara pemain import yang bakal menyinar pada musim ini. 14 gol dijaringkan pada musim ini sudah cukup untuk menjadikan Sherman sebagai pemenang anugerah kasut emas Liga Super 2019.

Walaupun beraksi bersama PKNS FC yang melalui masalah prestasi menuju ke penghujung musim, Sherman tetap konsisten meledak jaringan demi jaringan. Bukanlah untuk memandang rendah prestasi skuad kendalian Datuk K. Rajagopal, tetapi bayangkan jika pemain ini beraksi bersama pasukan yang lebih baik secara teknikal seperti Pahang atau pun Selangor.

Pemain Simpanan:

  1. Penjaga gol: Farizal Marlias (JDT) – Tidak melakukan kesilapan mudah berbanding penjaga gol lain. Ratio bolos menjadikan Helmi pilihan dalam kesebelasan utama.
  2. Pertahanan: Adam Nor Azlin (JDT) -Prestasi Adam Nor Azlin menunjukkan peningkatan mendadak pada musim ini.
  3. Pertahanan: Matthew Davies (Pahang) -Konsisten dan merupakan seorang bek kanan yang progresif. Namun jumlah bantuan gol P.Rajes menyebabkan Davies tampil sebagai pemain simpanan.
  4. Tengah: Fadhil Idris (PKNP FC) – Pemain tengah pertahanan PKNP FC ini berada di dalam senarai kami menewaskan pilihan lain seperti Halim Saari dan Afiq Fazail. Memiliki permainan keras, work rate yang tinggi, bijak membaca dan merancang permainan, beliau adalah tunjang kekuatan bahagian tengah PKNP FC. Masih berusia 23 tahun, Fadhil memiliki masa depan baik sekiranya digarap dengan betul.
  5. Tengah: Baddrol Bakhtiar (Kedah) – Beraksi sebagai pemain tengah (No.6) bukan peranan baharu buat Baddrol pada ketika era Ramon Marcote. Namun kali ini beliau melakukannya dengan jayanya ketika Kedah berada di fasa transisi dibawah kendalian Aidil Shahrin.
  6. Tengah: Hadin Azman (Felda United) – Permainan yang matang ditampilkan oleh Hadin untuk Felda pada musim ini. Merupakan kapten yang menjadi inspirasi kepada rakan sepasukan yang lain. Sayang sekali mengalami kecederaan pada pertengahan musim, namun beliau kembali bangkit menyelamatkan Felda selepas itu.
  7. Penyerang: Diogo Luis Santo (JDT) – Merupakan pemain termahal di saingan Liga Super pada musim ini sekiranya laporan daripada Goal ini dijadikan rujukan. Berada di kelas tersendiri dengan football brand yang sentiasa mengelirukan pertahanan lawan.

Ketua Jurulatih: B. Sathianathan (Selangor)

Ketua jurulatih pilihan kami pula ialah B. Sathianathan. Ini berdasarkan peningkatan ketara pasukan Selangor terutama selepas bermulanya pusingan kedua Liga Super Malaysia. Prestasi tidak menentu Selangor pada awal musim boleh sahaja memberikan tekanan yang tidak diperlukan buat pengendali berpengalaman ini.

B. Sathianathan
Namun dengan kepercayaan yang diberikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor beserta sedikit perubahan, Sathianathan berjaya kembali menyatukan keyakinan dalam diri pemainya untuk menamatkan musim ini di tangga ke-3.

Rumusan

Demikianlah barisan pemain dan jurulatih pilihan kami bagi Liga Super 2019. Kami tahu anda juga mempunyai pilihan masing-masing.

Kongsikan dengan kami di ruangan komen. Kami juga mahu mendengarnya daripada anda.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN