‘Wow, Serampang 2 Mata’ – Kelantan FC Peraga Kurta Edisi Khas Ramadan Ketika Berangkat Ke Kuching

Kelantan FC 2022 Kurta Ramadan

Segala ruang dan peluang akan digunakan oleh ahli perniagaan untuk mempromosi barang niaganya dan ini tak terkecuali dengan pasukan Liga Premier, Kelantan FC yang tampil memakai kurta edisi khas The Red Warriors.

Dimiliki oleh seorang ahli perniagaan, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, Kelantan dilihat bijak menggunakan ruang dan peluang untuk ‘berniaga’ di saat memuat naik gambar barisan kejurulatihan dan pemain berangkat ke Kuching, Sarawak untuk aksi ke-4 Liga Premier menentang Kuching City FC, tempohari.

Promosi dibuat menerusi muat naik di media sosial TRW Kelantan FC ketika mereka selamat tiba di Kuching.

“Skuad The Red Warriors selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 2.00 petang tadi dan terus bergerak ke tempat penginapan.

“Hari ini, satu kelainan yang ditonjolkan oleh barisan pemain dan pegawai dengan memperagakan kurta edisi khas The Red Warriors yang kini berada di pasaran bersempena di bulan Ramadan.”

TRW Kelantan FC

Ini adalah satu dimensi baharu dalam penswastaan pasukan di Liga Malaysia. Diterajui seorang ahli perniagaan yang berjaya seperti Zamsaham, Kelantan dilihat memiliki gimik tersendiri dalam cuba mempromosikan produk mereka. Rasanya, belum pernah ada di Liga Malaysia, gaya pemasaran produk pasukan dibuat sebegini rupa.

Rata-rata penyokong menyuarakan rasa teruja dan pujian kepada bahagian pemasaran pasukan yang berjaya membuat sesuatu yang menarik. Pengenalan kurta dilihat amat bertepatan dengan bulan Ramadan kini.

Antara komen yang dititipkan penyokong di posting tersebut adalah daripada Syafiq Zulkiflee. “Wow. Kreatif betul team pemasaran TRW. Tak pernah dibuat team lain. Mantap TRW,” titipnya di ruangan komen posting itu.

“Bijok. Penaja seronok dengan marketing gini. Semoga semua berjaya,” ungkap Abdullah Mamat, juga di ruang komen yang sama. Abd Halim Che Idris pula berkata, ia bagai serampang dua mata oleh pengurusan pasukan.

Kerap kali kita melihat promosi produk pasukan hanya ketika program yang melibatkan para pemain bersama penyokong. Dan kebanyakkannya adalah produk sukan. Kelainan yang dibawa Kelantan adalah mempromosi kurta – salah satu produk jualan mereka bersempena bulan Ramadan dan Syawal yang bakal kunjung tiba.

Bukan hanya pemain tempatan dan barisan kejurulatihan dilihat mengenakan kurta tersebut, pemain import The Red Warriors seperti Kervens Belfort, Fadel Antar dan Nixon Guylherme turut tidak melepaskan peluang itu.

Mereka dapat menarik perhatian penyokong mereka dengan promosi sebegini seterusnya menjana pendapatan kelab selain jualan barangan eksklusif lain. Begitupun, yang tak menariknya, mereka tewas kepada Kuching City 1-2, kekalahan pertama selepas empat perlawanan. Namun, mereka kekal sebagai pendahulu Liga Premier.

Leave a Reply