Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward memberikan jaminan yang kelab Premier League itu akan mempunyai perubahan menjelang jendela perpindahan musim panas kelak.
Memetik laporan The Star Online, Woodward menganggap ianya merupakan detik penting bagi kelab itu dalam usaha untuk kembali ke kelompok pencabar kejuaraan musim hadapan.
“Ianya adalah keutamaan kami yang amat penting dalam usaha mendapatkan kembali gelaran juara Premier League dan juga pemenang UEFA Champions League.”
“Proses pengambilan kami berfokuskan kepada analisis dan pemilihan pemain berdasarkan satu musim, dan ianya akan digunakan pada jendela perpindahan akan datang.”
Penyokong Manchester United agak kecewa dengan aktiviti pembelian kelab itu pada jendela perpindahan Januari lalu apabila kelab hanya membeli satu pemain sahaja iaitu Bruno Fernandes.
Akan tetapi, pembelian itu kelihatan tepat kerana Fernandes adalah pemain yang mereka perlukan dikala Manchester United sedang mengalami isu di bahagian tengah.
Manchester United kini ditangga kelapan dengan dipisahkan dengan enam mata oleh Chelsea yang kini menduduki tangga keempat dalam saingan Premier League.
Mereka akan bertemu sesama sendiri selepas tamat cuti rehat liga dan ianya adalah peluang terbaik untuk Manchester United mendekatkan jarak mereka dengan kelompok empat pasukan teratas.