Penyerang Burnley, Chris Wood mengakui bahawa Old Trafford kini tidak lagi menakutkan selepas The Clarets mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris 2019/20 di gelanggang tersebut, awal pagi tadi.
Meskipun mendominasi sebahagian besar permainan, skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu masih tidak mampu untuk merobek gawang Burnley yang dikawal penjaga gol berusia 27 tahun, Nick Pope.
Melihatkan kepada keputusan tersebut, Wood beranggapan Old Trafford bukan lagi kubu kuat bagi pasukan yang bergelar ‘The Red Devils’ itu.
”Lihat, saya tidak fikir Old Trafford menakutkan. Saya rasa beberapa tahun lalu kami ke sini [Old Trafford] dan mendahului dengan 2-0, kemudiannya berjaya disamakan semula [2-2].”
”Hari ini kami datang ke sini dengan mentaliti yang sama iaitu bekerja dengan keras, mendahului perlawanan, mempertahankan apa yang dimiliki, berjuang dengan keras – itulah yang kami lakukan,” ujar Wood selepas perlawanan.
Kejayaan bermakna di laman lawan itu menyaksikan Burnley mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan liga sejak tahun 1962 dengan hanya 29 peratus penguasaan bola.
”Kami beruntung kerana memperoleh dua jaringan di mana memberikan kami sedikit keselesaan. Ia merupakan corak permainan bertahan yang hebat.”
Pada aksi tersebut, Chris Wood membuka tirai jaringan ketika aksi babak pertama hanya berbaki enam minit dan Jay Rodriguez mengukuhkan kedudukan pada minit ke-56 bagi menghadiahkan kemenangan kesembilan buat Burnley pada musim ini.
Kredit foto: Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images