Wolves menewaskan Manchester United 2-1 di Molineux untuk mara ke separuh akhir Piala FA – dalam aksi yang selayaknya mereka menang.
Ini adalah kali pertama pasukan Nuno Espirito Santo mara ke separuh akhir sejak 1997-98. Ini juga merupakan kekalahan ke-2 berturut-turut Manchester United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer – selepas tewas di tangan Arsenal dalam aksi liga.
Wolves dengan cemerlang memastikan Man. United dijinakkan. Mereka menekan dan berterusan menyerang. Aksi cemerlang Sergio Romero melakukan beberapa aksi menyelamat termasuk 2 ‘super saves’ – menafikan percubaan Jota dan Jimenez.
2 pemain itu juga yang menembusi Romero pada minit ke-70 dan ke-76 pada separuh masa kedua.
Marcus Rashford menjaringkan gol pada saat akhir perlawanan. Namun ia sudah terlalu lambat dan Manchester United tidak mampu untuk bangkit. Pasukan tuan rumah selayaknya menang dengan aksi yang mereka tunjukkan.
Paul Pogba bergelut dengan prestasi dalam perlawanan ini terutama pada separuh masa pertama. Manakala pertahanan Man. United pula kelihatan agak longgar. Mujur Romero beraksi dengan cemerlang.
Wolves’ record vs top 6 this season:
✅Wolves 1-1 Man City
✅Man Utd 1-1 Wolves
❌Wolves 2-3 Spurs
✅Arsenal 1-1 Wolves
✅Wolves 2-1 Chelsea
❌Wolves 0-2 Liverpool
✅Spurs 1-3 Wolves
✅Wolves 2-1 Liverpool
❌Man City 3-0 Wolves
✅Chelsea 1-1 Wolves
✅Wolves 2-1 Man Utd#wwfc pic.twitter.com/h2IErZ7zhS— Premier League Panel (@PremLeaguePanel) March 16, 2019
Selepas tamat perlawanan, Solskjaer menganggap ini aksi terburuk mereka setakat ini selepas aksi cemerlang menentang Asenal – meskipun tewas.
Solskjaer berkata: “Ini adalah keputusan yang sangat mengecewakan. Pasukan lawan berhak menang kerana mereka lebih baik dalam mencipta peluang gol.”
“Ya, kami menguasai perlawanan, namun kami tidak benar-benar memiliki perlawanan. Saya rasa sepanjang perlawanan, kami gagal memberikan tekanan kepada lawan.”
“Pasukan lawan kelihatan gembira dengan apa yang berlaku pada separuh masa pertama dan kedua.”
“Sudah pasti perkara yang mengecewakan apabila anda melepaskan 2 gol mudah kepada lawan.”
“Apa yang kami hilang dalam perlawanan ini? Banyak sekali sebenarnya. Ini adalah aksi paling teruk kami setakat ini. Minggu lalu menentang Arsenal kami gembira dengan aksi kami walaupun tewas. Namun hari ini kami tidak ada ‘urgency’ dan kualiti ketika dengan bola.”
“Rasanya, kami OK ketika tanpa bola. Namun tempo kami dengan bola tidak cukup pantas.”
Solskjaer juga tidak berpuas hati dengan ketumpulan anak buahnya di hadapan gol.
“Itulah bola sepak. Kita kurang sedikit kualiti dan tempo ketika menghantar bola. Saya berpendapat, perkara yang paling mengecewakan adalah ‘urgency’. Ini kerana, kami akan lebih baik jika bermain lebih laju, bermain ke hadapan dan berlari menyerang.”
“Beberapa kali Pogba memecah masuk ke kawasan mereka. Dan beberapa kali juga kami cuba menembusi bahagian tengah mereka menggunakan Rashford. Namun ketika kami ada bola di kaki, kami tiada ‘urgency’ dan terlalu berasa selesa. Rasanya kita terlalu sambil lewa bermain hari ini.”
Solskjaer memuji aksi Sergio Romero yang disifatkan beliau telah menjadi pemain yang berjaya menghidupkan pasukan mereka daripada bolos lebih awal.