‘Wira Tidak Didendang’ – Memahami Kepentingan Pakar Ortopedik Dan Perubatan Sukan Dalam Bola Sepak

Perubatan Sukan

Bagi pemain bola sepak profesional, beraksi di atas padang adalah segala-galanya buat mereka. Untuk menampilkan persembahan terbaik dan mendapatkan keputusan positif, fizikal yang sihat dan cergas menjadi kunci dan pertaruhan utama.

Maka kecederaan serius pada tulang atau ligamen adalah mimpi ngeri buat mana-mana atlet sukan. Tempoh rehat yang mengambil masa sehingga berbulan-bulan atau setahun atau lebih daripada itu merupakan perkara yang mahu dielak, tetapi sebagai manusia, tiada daya yang mampu menolak takdir tuhan.

Siapakah individu yang paling penting pada fasa ini?

Kepakaran Ramon Cugat, ‘Messi’ bidang Perubatan Sukan

Pada Ogos 2018, bintang Manchester City, Kevin De Bruyne telah mengalami kecederaan lutut yang agak serius semasa latihan dan dijangka perlu diketepikan untuk tempoh tiga bulan. Pengendali The Citizen, Pep Guardiola menyedari risiko jika kehilangan arkitek utama pasukan dalam tempoh yang lama.

City tidak mahu misi mereka untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris terganggu. Maka Guardiola sedar beliau bukan hanya memerlukan bintang di atas padang, tetapi juga seorang bintang di luar padang yang boleh membantunya mengendalikan masalah ini.

Beliau tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan menerbangkan pemain tengah Belgium itu ke Barcelona dan meminta bantuan dari ‘senjata rahsianya’, Dr. Ramon Cugat. Hasilnya, De Bruyne telah kembali beraksi hanya selepas 66 hari.

Begitu juga dengan pemain-pemain City yang lain. Vincent Kompany, Sergio Aguero dan Gabriel Jesus adalah di antara mereka yang kerap mendapatkan rawatan dari Cugat.

Cugat merupakan pakar ortopedik dan perubatan sukan yang cukup dihormati di Sepanyol. Pernah bermain untuk akademi Barcelona, hubungan Cugat dan Guardiola terbina pada penghujung tahun 1990-an ketika dalam Guardiola dalam prestasi terbaiknya ketika masih bergelar pemain di Barcelona.

Selepas mendapat kecederaan hamstring dan pulih sepenuhnya, sejak dari itu Cugat adalah ‘dewa penyembuh’ buat Guardiola. Apabila ditabalkan selaku pengurus Barcelona pada 2008, Cugat telah dilantik sebagai doktor rasmi pasukan. Pemain-pemain bintang pada era tersebut seperti Xavi, Carles Puyol, David Villa, Cesc Fabregas dan ramai lagi telah mendapat rawatan dari doktor pakar ini.

Rujuk pada yang pakar

Sukan profesional memerlukan komitmen pada tahap tertinggi oleh atlet. Selain memerlukan stamina yang baik, adalah penting untuk mempunyai tahap kecergasan dan ketahanan fizikal bagi mengelak daripada berlakunya kecederaan.

Tetapi atlet dan kecederaan ini tidak dapat dipisahkan. Mereka perlu bersedia dengan kecederaan seperti patah tulang, koyak ligamen, otot, sendi, osteoarthritis dan dislokasi.

Di sinilah wujudnya peranan penting oleh pakar ortopedik dan perubatan sukan yang bertauliah untuk memastikan proses pemulihan dapat berjalan mengikut prosedur yang betul menurut ilmu sains sukan yang terus berkembang.

Perubatan Sukan
Barisan Pakar Ortopedik dan Perubatan Sukan Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia. Dari kiri: Dr. Muhamad Karbela Reza, Dr. Alex, Dr. Homihidayah, Dato’ Dr. Badrul Kamal Hisham, Dr. Nadzim, Dr. Jason, Dr. Norlelawati, Dr. Syafik, Dr. Farhan dan Dr. Farihan.

Pakar ortopedik ini tugasnya bukan hanya merawat kecederaan fizikal, tetapi yang lebih penting adalah merawat ‘kecederaan mental’, iaitu dalam memberikan nasihat serta sokongan moral kepada atlet profesional yang berhasrat untuk kembali beraksi.

Proses pemulihan dan rehabilitasi akan menjadi penentu kepada masa depan atlet. Dalam tempoh ini, disiplin yang tinggi amat diperlukan agar kecederaan itu tidak berulang. Jenis gerakan yang dibolehkan, kaedah senaman yang diperlukan, segalanya akan ditetapkan mengikut disiplin perubatan.

Penutup

Pengurus dan pemain bola sepak profesional akan bersilih ganti menjulang kejayaan dan kemasyhuran. Merekalah yang akan terus menjadi pujaan peminat sukan bola sepak ini. Tetapi sangat jarang untuk kita menghargai individu-individu yang bekerja di belakang tabir seperti peranan penting yang dimainkan oleh pakar ortopedik dan perubatan sukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN