Windsor Paul: AFC Tiada Masalah Terima Cadangan Format Liga Malaysia

Windsor Paul

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John mengakui badan induk bola sepak Asia itu tidak ada sebarang halangan terhadap format Liga Malaysia musim 2020 yang dicadangkan oleh Malaysian Football League (MFL) jika dapat diteruskan pada September ini.

Walaupun format pertandingan hanya akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan, beliau memahami kekangan dihadapi MFL bagi memastikan kelangsungan Liga Malaysia daripada terus terkubur.

Tambah Windsor, hanya dua kriteria sahaja perlu dipatuhi mana-mana penganjur liga di Asia iaitu pengubahsuaian format itu diterima oleh semua rakan kongsi liga dan akan mengikut Standard Prosedur Operasi (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Di pihak AFC, kami tiada masalah menerima format seperti ditetapkan oleh MFL selagi dipersetujui oleh semua pemegang taruh.

“Dalam keadaan seperti ini, pasukan negeri atau kelab perlu sama-sama membantu serta mencari jalan untuk mencapai kata putus terhadap format pertandingan ekoran faktor kesuntukan masa.

“Format yang disyorkan oleh MFL jelas munasabah kerana mereka telah cari jalan terbaik habiskan baki perlawanan liga dalam tempoh yang ada.

“Pemenang daripada dua pertandingan ini (CIMB Liga Super dan TM Piala Malaysia) juga boleh mewakili negara di pentas AFC selagi format pertandingan ini diterima oleh rakan kongsi.

“Dalam format yang telah diubahsuai ini, semua pasukan perlu bertolak ansur terutama dalam soal aksi bermain di tempat sendiri atau lawan dengan mengambil kira situasi yang luar biasa ini,” katanya.

Pada Jumaat lalu, MFL telah mengumumkan perubahan kalendar Liga Malaysia 2020 dibuat dengan mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang telah dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

MFL merancang meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September 2020 dan akan berakhir pada 26-27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 hingga 7 November sementara Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Menyentuh mengenai keperluan mengikut SOP, beliau juga menasihatkan MFL selain mengikut arahan pihak kerajaan,mereka juga boleh belajar daripada beberapa negara yang akan memulakan liga mereka dalam tempoh terdekat.

“Kebenaran mematuhi SOP ditetapkan kerajaan cukup penting buat mana-mana penganjur liga di Asia dan kami sama sekali tidak ada rundingan dalam soal ini.

“Cuma jika Liga Malaysia dapat dijalankan pada September, saya rasa ini kesempatan terbaik untuk MFL jadikan liga-liga lain yang akan bermula lebih awal sebagai contoh pembelajaran untuk dijadikan panduan.

“Sebagai contoh, Liga Korea (K-League) yang akan bermula pada 8 Mei ini mungkin boleh menjadi permulaan baik terhadap bagaimana mereka menjalankan liga dalam situasi sebegini.

“Malah, selepas ini saya difahamkan akan ada liga-liga lain akan bermula dan saya rasa mungkin ini satu kesempatan terbaik buat MFL mendapatkan input bagi memastikan Liga Malaysia nanti boleh berjalan lancar,” ujar Windsor Paul lagi.

Baca artikel lain dari kami mengenai Liga Malaysia:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN