Willy Caballero Sambung Kontrak Setahun Lagi Dengan Chelsea

Willy Caballero

Penjaga gol Chelsea, Willy Caballero telah bersetuju untuk menyambung kontraknya untuk setahun lagi sehingga musim depan dan berjanji akan terus memberi komitmen bersama kelab London tersebut.

Beliau yang kini sudah pun berusia 38 tahun, masih mampu beraksi cemerlang dan telah tampil dalam sembilan perlawanan pada musim ini sebelum aksi tertangguh ekoran pandemik COVID-19 sejak pertengahan Mac lalu.

Sebelum ini pemain antarabangsa Argentina itu dilaporkan akan meninggalkan Stamford Bridge sejurus sahaja kontraknya tamat, namun dengan sikap dan karektornya yang amat disenangi di bilik persalinan The Blues, pihak kelab berkenan untuk terus memberi kepercayaan kepadanya.

Beliau merupakan penjaga gol pilihan kedua pasukan,namun sejak kebelakangan ini semakin kerap diturunkan apabila pengurus, Frank Lampard menggugurkan Kepa Arrizabalaga sejak Februari lepas.

Beliau akan menyertai penyerang Perancis, Olivier Giroud yang juga telah melanjutkan kontraknya bersama The Blues untuk tempoh 12 bulan lagi.

Namun status pemain sayap Brazil, Willian dan penyerang Sepanyol, Pedro Rodriguez masih menjadi tanda tanya memandangkan kontrak kedua-dua pemain skuad utama itu akan tamat pada bulan Jun ini.

Caballero menyertai Chelsea secara percuma dari Manchester City pada 2017 dan telah pun menyertai rakan sepasukannya menjalani sesi latihan berpasukan di Cobham sejak Selasa.

Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dijangka akan kembali bermula pada pertengahan bulan depan.

Kredit Foto: Daily Mail UK

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Willy Caballero dan Chelsea:

Leave a Reply