UEFA EURO 2016 menyaksikan pelbagai gelagat dari para penyokong dari setiap negara yang bertanding di Perancis.
Dari yang membawa kepada pergaduhan di dalam dan luar stadium, sehingga kepada mereka yang membuat kita ketawa dengan gelagat selamba ketika di jalan-jalan di Perancis dan semestinya, sikap fanatik ketika di dalam stadium.
Antara yang paling menjadi perhatian adalah gelagat dari penyokong Ireland Utara.
Perjalanan Ireland Utara di UEFA EURO 2016 sudah berakhir semalam selepas tewas kepada Wales dalam pusingan 16 pasukan terbaik di Paris.
Namun, sorakan atau ‘chant’ dari penyokong mereka sentiasa menjadi perhatian sepanjang kejohanan berlangsung.
‘Chant’ yang dimaksudkan adalah – Will Grigg’s on fire!
Terima kasih kepada Sean Kennedy
Penyokong Ireland Utara dan dunia perlu berterima kasih kepada Sean Kennedy, tapi siapakah beliau?
Sean Kennedy cumalah penyokong Wigan Athletic yang merupakan kelab dimana Grigg bermain pada musim lalu.
Grigg memainkan peranan penting dalam membantu Wigan kembali memperoleh kepulangan segera ke English Championship dengan memenangi English League 1 pada musim lalu dengan menjaringkan 28 gol.
Oleh itu, Kennedy mencipta satu ‘chant’ menggunakan satu lagu pop sekitar ’90-an yang bertajuk Freed from Desire yang dinyanyikan oleh Gala.
Kennedy mengubah frasa lirik…
“Freed from desire, mind and senses purified” kepada….
“Will Grigg’s on fire, your defence is terrified.”
Dan kemudiannya merakamnya dalam bentuk video.
Video tersebut tersebar luas dan ‘chant’ tersebut telah menjadi sebahagian dari ‘chant’ wajib bagi penyokong Wigan Athletic.
Malah pemain-pemain Wigan sendiri juga menyanyikannya!
Oleh kerana itu, pengerusi Wigan iaitu David Sharpe telah menawarkan kepada Kennedy pas bermusim untuk musim hadapan secara percuma kepadanya kerana mencipta ‘chant’ tersebut.
Sharpe berkata di Twitternya, “Kerana telah menciptakan satu ‘chant’ yang terbaik di dunia, anda telah memperoleh pas bermusim untuk musim depan secara percuma @KennoUTJ. Will Grigg’s on fire!”
Menjadi terkenal di EURO 2016
‘Chant’ ini menjadi terkenal di EURO 2016 apabila skuad Ireland Utara mara ke pusingan akhir.
Penyokong mereka menyanyikannya di merata-rata tempat – di stadium, di kawasan ‘fan zone’ malah juga di jalanan.
Malah ia menjadi perhatian pertahanan Jerman, Mats Hummels.
Ketika ditanya oleh wartawan mengenai ‘chant’ tersebut sebelum perlawanan antara negaranya dengan Ireland Utara, Hummels berkata :
“Saya amat sukakan ‘chant’ tersebut, tetapi pertahanan kami tak gerun dengan beliau.”
Walaupun Ireland Utara sudah pun tersingkir, dan Will Grigg tidak melakukan sebarang penampilan di EURO 2016. ‘Chant’ ini akan terus menjadi ikon dalam bola sepak.