Quantcast

BERITA

Wesley Sneijder Secara Rasmi Bersara Sebagai Pemain

Bekas bintang antarabangsa Belanda, Wesley Sneijder secara rasmi telah bersara sebagai pemain bola sepak profesional setelah mencapai persetujuan perniagaan bersama kelab Eredivisie, Utrecht.

Sneijder yang kini berusia 35 tahun kini tidak terikat dengan mana-mana kelab setelah kontrak selama 18 bulan bersama kelab Qatar, Al-Gharafa berakhir Julai lalu.

Beliau kini telah menandatangani kontrak perniagaan bersama Utrecht, dan ia membenarkan beliau menyaksikan perlawanan daripada ruang koporat musim ini.

“Saya sangat sukakan bandar ini. Kini setelah berhenti bermain, saya hanya mahukan satu tempat dimana saya boleh kongsikan pengalaman saya,” ujar beliau kepada stesen televisyen kelab tersebut.

Karier profesional Sneijder bermula bersama Ajax pada 2002 sebelum beliau beraksi bersama Real Madrid, Inter Milan, Galatasaray dan Nice.

Antara musim terbaik sepanjang karier beliau ialah ketika membantu Inter menjuarai treble pada musim 2009/10 di bawah kendalian Jose Mourinho.

Beliau kemudiannya menjadi inspirasi buat pasukan kebangsaan Belanda mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2010, sebelum skuad Orange tewas 1-0 kepada Sepanyol di perlawanan akhir. Sneijder diumumkan sebagai pemenang anugerah Silver Ball sebagai pemain kedua terbaik kejohanan.

JOHANNESBURG, SOUTH AFRICA – JULY 11: Wesley Sneijder of Netherlands reacts to a decision by referee Howard Webb of Englandduring the 2010 FIFA World Cup South Africa Final match between Netherlands and Spain at Soccer City Stadium on July 11, 2010 in Johannesburg, South Africa. (Photo by Mike Hewitt – FIFA/FIFA via Getty Images)

Ketiadaan Sneijder di dalam senarai tiga pemain terakhir untuk Ballon d’Or pada tahun yang sama menjadi tanda tanya dan dianggap sebagai tidak adil.

Secara keseluruhan, Sneijder tampil sebanyak 134 kali untuk Belanda di antara 2003 sehingga 2018, dan menjadi pemain Belanda dengan penampilan terbanyak sehingga kini.