Bekas pemain pertahanan Manchester United, Wes Brown yakin bahawa kelab lamanya itu tidak akan melepaskan Paul Pogba ke Barcelona dan percaya pemenang Piala Dunia 2018 itu akan kekal di Old Trafford.
Angin bertiup kencang bahawa beberapa kelab termasuk Barcelona begitu berminat untuk mendapatkan khidmat Pogba, tetapi bagi Brown, pemain berusia 25 tahun itu adalah ‘pemain Manchester United’.
Pogba bagaimanapun diturunkan pada perlawanan pembukaan ketika bertemu Leicester City dan memakai lilitan ketua pasukan.
Lebih manis, beliau menyempurnakan sepakan penalti untuk membantu United meraih kemenangan 2-1.
Bagi Brown, Pogba masih mempunyai peranan yang begitu besar dalam menggalas tanggungjawab bersama Manchester United.
Bercakap kepada Daily Star, Brown berkata: ”Pogba akan kekal.”
”Dia merupakan pemain Manchester United. Dia adalah ketua pasukan pada perlawanan Jumaat lalu, menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, menikmati kempen Piala Dunia yang hebat dan saya berharap dia akan kekal dan melalui musim yang hebat untuk United.”
”Mungkin dia akan diberikan lebih kebebasan ketika beraksi pada musim ini, terutamanya dengan kehadiran Fred dan masih mempunyai (Nemanja) Matic.”
”Fred kelihatan akan beraksi di sekeliling padang, ia seperti suka bertahan, jadi ia akan memberikan Pogba beraksi lebih sedikit ke depan.”
”Kita hanya perlu melihat, ia agak awal ketika ini untuk melihat bagaimana dia beraksi atau dia menjadi lebih menyerang atau defensif.”