Kelmarin, pengendali Arsenal, Arsene Wenger mengumumkan beliau akan melepaskan jawatanya pada penghujung musim ini setelah lebih 21 tahun berkhidmat dengan kelab London Utara itu.
Menurut laporan daripada Vanguard, bekas penyerang Arsenal, Ian Wright mendakwa Arsene Wenger sebenarnya dipecat kerana beliau tidak percaya betapa bekas pengurusnya itu akan membuat keputusan untuk mengangkat kaki.
Arsenal tidak pernah memenangi Liga Perdana Inggeris sejak 2004 dan bakal menamatkan saingan liga di luar kelompok empat pasukan terbaik untuk dua musim berturut-turut.
Wenger berdepan desakan untuk melepaskan jawatannya daripada penyokong pasukan yang kecewa namun pengendali Perancis itu tetap mahu meneruskan tugasnya bersama pasukan itu.
Wright yang membantu Arsenal memenangi Liga Perdana Inggeris di awal kendalian Wenger yakin jurulatih itu sebenarnya dipaksa meletakkan jawatan oleh pengurusan tertinggi pasukan.
“Arsene Wenger adalah seorang lelaki yang berprinsip, jujur dan memiliki integriti. Jadi, saya yakin beliau sebenarnya dipecat dan bukannya meletak jawatan,” kata wright.
“Untuk segala kecaman yang dilemparkan kepadanya, Arsene bukanlah seorang yang akan mengangkat kaki sebelum kontraknya berakhir.
“Satu situasi yang menyedihkan dan saya rasa kita tidak akan dapat mencari siapa yang bertanggungjawab kerana mereka semua akan menyembunyikan diri.
The Gunners kini menduduki tangga ke-6 EPL dan kelihatan seperti akan terlepas peluang ke pertandingan UEFA Champions League (UCL) buat musim kedua berturut-turut.
Peluang terbaik Arsenal untuk melayakkann diri ke UCL pada musim hadapan ialah dengan menjuarai UEFA Europa League (UEL), setelah kelab London itu berjaya mara ke separuh akhir pertandingan berkenaan.
Sepanjang tempoh bersama Arsenal, Wenger telah membantu kelab yang berpengkalan di London itu menjuarai tiga gelaran EPL dan tujuh kejuaraan Piala FA.
“Beliau mengadakan sidang media tanpa sebarang petanda untuk meletak jawatan dan tiba-tiba perkara ini berlaku. Sudah pasti ini sesuatu yang menghairankan.
“Namun Arsene boleh pergi dengan penuh bangga. Walau apa pun keputusannya, sudah tentu beliau perlu mendapat penghormatan yang tinggi selaku penyokong sejati dan juga legenda Arsenal.
“Kami semua terhutang budi dengannya.” ujarnya.