Tempoh hari, pengurus Arsenal iaitu Arsene Wenger telah mengumumkan perletakan jawatan beliau dari posisi tersebut sebaik musim 2017/2018 tamat.
Jadi buat pertama kalinya dalam tempoh 22 tahun, Arsenal akan mengalami situasi yang dimana kelab akan benar-benar berusaha mencari pengurus baharu.
Bercakap pada sidang media pra-perlawanan aksi separuh akhir 1 Europa League menentang Atletico Madrid, satu nama telah pun disebut oleh Wenger.
Nama yang dimaksudkan adalah bekas pengurus Barcelona – Luis Enrique.
“Saya tidak mahu masuk campur dalam urusan pemilihan pengurus baharu, namun saya harus memuji Luis Enrique.”
Komen yang diberikan Wenger ini sedikit sebanyak memberikan bayangan yang beliau menjadikan Enrique sebagai pilihan hatinya untuk menggantikan beliau musim hadapan.
Enrique mempunyai tempoh sebagai pengurus yang sekejap sahaja di Barcelona. Namun, hasil kerja beliau telah memberikan gelaran treble kepada pasukan tersebut pada 2015.
Wenger dalam masa yang sama, menyerahkan sepenuhnya kepada Arsenal untuk mencari pengurus baharu kelab.
Musim ini tampaknya sudah berakhir buat Arsenal dalam semua pertandingan kecuali Europa League.
Tidak hairan kenapa fokus Arsenal pada penghujung musim adalah untuk menjuarai kejohanan ini untuk terus layak ke saingan UEFA Champions League musim depan.
Dalam masa yang sama, ia boleh menjadi hadiah perpisahan paling sempurna buat Wenger kepada Arsenal.
“Adakah ia merupakan hadiah perpisahan yang terbaik buat saya? Saya tidak tahu.”
“Saya cuma lakukan tugasan ini dengan sebaik mungkin.”
“Para pemain yang saya ada merupakan kumpulan pemain yang cukup istimewa dan mereka berhak menerima ganjaran yang istimewa.”
“Apa yang saya mahukan adalah mencapai kejuaraan bersama mereka.”
“Sudah pasti, kepuasan terbesar saya adalah mencapai kejayaan bersama para pemain yang saya ada.”