Arsene Wenger pastinya tidak mahu tewas dalam perlawanan Derbi London Utara ini berbanding dengan perlawanan lain. Namun rekod derbi ini sudah didominasi oleh Spurs dalam 9 perlawanan terakhir.
Tambahan pula perlawanan ini sangat penting untuk aspirasi 4 teratas kedua-dua pasukan musim ini.
Spurs menang 6, seri 2 dan hanya kalah 1 di tangan Arsenal dalam perlawanan ini. Dalam pertarungan derbi semalam, Spurs menang 1-0 dalam perlawanan yang mereka lebih dominan di barisan serangan dengan 18 percubaan ke arah gol.
Arsenal yang serangan mereka diketuai 2 pemain termahal kelab mereka, Aubameyang dan Lacazette hanya melakukan 6 percubaan ke arah gol.
Wenger merasakan, jika Arsenal lebih tajam pada separuh masa pertama, mereka sudah boleh membunuh perlawanan ini dengan mudah. Namun ianya tidak berlaku. Arsenal mempersia-siakan beberapa peluang gol mereka.
“Perlawanan ini asasnya 50/50. Pertama sekali, saya berpendapat kami harus membunuh perlawanan ini pada separuh masa pertama. Kami persia-siakan peluang daripada serangan balas. Ia adalah ‘miss’ yang tidak sepatutnya berlaku dalam perlawanan tahap ini. Itu berlaku kerana bola akhir kami tak cukup bagus.”
“Separuh masa kedua pula, kami berhak untuk kalah lebih daripada 1 gol. Kami jadi tak stabil selepas gol mereka. Namun pada fasa akhir perlawanan kami berhak untuk menamatkan perlawanan 1-1.”
“Itu bagi saya lebih baik daripada kalah 1-0. Jadi, kami ada perasaan bercampur baur. Dalam beberapa fasa yang panjang pada separuh masa pertama, jika kami ada kualiti hantaran akhir lebih baik, kami boleh menang perlawanan ini.”
Ditanya adakah Laurent Koscielny dikasari Harry Kane untuk mencetuskan gol Spurs. Wenger berkata:
“Tiada komplen untuk itu. Rasanya gol itu gol biasa, itu yang saya rasa ketika itu. Kami hanya mampu menyalahkan diri sendiri.”
Menjawab komen Martin Keown yang mengkritik pertahanan Arsenal sebagai tak cukup ‘dahaga’ untuk bertahan Wenger tidak setuju dengan pandangan bekas ‘pelajar’ beliau itu:
“Tak, saya tak setuju. Saya tak rasa mereka tidak dahaga untuk bertahan. Mereka bertahan berhadapan dengan salah seorang penyerang terbaik di dunia. ”
“Dia akan mampu menjaringkan gol menentang sesiapa sahaja, jadi adakah anda mahu menyatakan semua pertahanan yang bolos kerana beliau sebagai tak cukup dahaga untuk bertahan?”
Bagaimana pula dengan prospek untuk menamatkan saingan liga di kedudukan 4 teratas?
“Untuk berada 4 teratas, perlawanan seperti ini adalah perlawanan yang anda tak boleh kalah. Ini membuatkan keadaan menjadi semakin sukar. Kini kami harus berjuang selagi-lagi ada peluang secara matematik.”
“Ini lebih daripada sekadar derbi, itu yang saya katakan sebelum perlawanan. Sebab itu saya sangat kecewa kalah dalam perlawanan ini dengan cara kami hari ini.”
Wartawan bertanya, adakah Arsenal akan cuba untuk menumpukan lebih kepada UEL berbanding dengan 4 teratas dalam usaha untuk ke UCL musim hadapan.
“Terlalu awal untuk memikirkannya. Keutamaan masih lagi melayakkan diri ke UCL dengan beraa di 4 teratas dalam EPL. Saya bukan orang yang menyokong idea layak ke UCL dengan melalui UEL. Saya rasa perkara itu tidak betul.”
Wenger sebelum ini lantang menentang idea kelayakan ke UCL menerusi tiket UEL.
“Namun jika ada peluang, kami akan cuba gunakannya dan keutamaan masih kepada (layak menerusi kedudukan dalam) EPL.