Pengurus Arsenal, Arsene Wenger merasakan Arsenal sepatutnya diberikan penalti lebih awal apabila Robbie Brady menerjah Hector Bellerin di dalam kotak penalti ketika menentang Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris semalam.
“Dari luar ia kelihatan 100 peratus penalti,” kata Wenger. “Saya tidak tahu mengapa dia menolaknya dengan kedua-dua belah tangan dari belakang.
“Terdapat satu lagi ke atas Bellerin, saya boleh faham mengapa mereka kecewa tetapi dari luar ia kelihatan seperti penalti. Dia mengalami kesakitan di leher, tolakan itu cukup kuat,” katanya.
Wenger turut memuji kejituan perwatakan Arsenal selepas skuad kendaliannya itu merakam kemenangan dramatik 1-0 ke atas Burnley walaupun tanpa kelibat perancang utama Mesut Ozil.
Selepas kemenangan ke atas seteru tetangga Tottenham minggu lalu, Wenger mengharapkan Arsenal mampu mengekalkan rentak berkenaan dan memperbaiki rekod di tempat lawan di mana mereka hanya mengutip empat mata musim ini.
Bermain tanpa arkitek Jerman, Ozil dan menentang Burnley yang berkongsi mata dengan mereka sebelum perlawanan, menjadikan kemenangan itu cukup bermakna buat Wenger.
“Bagi kami, selepas kemenangan ke atas Tottenham, penting untuk kami bermain di luar laman sendiri dan memenanginya,” kata Wenger yang skuad kendaliannya kini melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris.
“Dan itulah yang kami lakukan. Ia amat penting untuk pasukan. Mereka menunjukkan karakter yang hebat kerana kami berjaya mengelak dibolosi walaupun Burnley berusaha bersungguh-sungguh.
“Kami menang 1-0 tetapi tahniah buat ketiga-tiga pertahanan kami kerana mereka melakukan tugas yang menakjubkan.”
Ozil tidak dapat diturunkan akibat kurang sihat dan tahap kecergasannya akan dinilai sebelum perlawanan Arsenal seterusnya menentang Huddersfield pada Rabu.
“Doktor datang berjumpa saya dan berkata Mesut terpaksa pulang,” kata Wenger. “Dia berada di hotel bersama kami, tetapi kemudian terpaksa pulang.
“Ada masalah trafik ketika kami datang ke sini jadi kami tiba sekitar jam 1 tengahari dan hanya 17 daripada kami. Betapa serius masalah kesihatannya, adakah dia dapat bermain Rabu ini? Kita tunggu dan lihat.”
Alexis Sanchez meledak gol tunggal permainan menerusi sepakan penalti dalam masa kecederaan selepas James Tarkowski mengasari Aaron Ramsey walaupun dibantah oleh pemain serta penyokong Burnley, Wenger yakin pengadil Lee Mason membuat keputusan tepat. – AFP