Arsene Wenger menyatakan beliau bangga dengan kemenangan 3-2 dicatatkan oleh Arsenal ke atas Southampton. Kemenangan ke-6 berturut-turut Arsenal.
Ini juga adalah kemenangan ke-150 Arsenal di Emirates selepas 226 perlawanan.
“Kami akan teruskan aksi sebegini. Saya akan melakukan sedikit penggiliran pemain kerana jadual padat, dan saya tiada cara lain untuknya.”
“Saya akan cuba menurunkan pasukan terbaik yang boleh menang. Southampton mendahului dan kemudian mengikat kami 2-2. Dan saya percaya kami sudah menunjukkan semangat yang tinggi.”
“Penyokong datang ke Emirates untuk menyaksikan bola sepak dan gol dan itu yang kami berikan kepada mereka.”
“Saya sangat bangga dengan para pemain kerana kami berjaya melepasi cabaran sukar yang menguji mental. Untuk bangkit daripada semua itu, anda perlu bersatu, dan para pemain sudah tunjukkannya.”
Wenger turut memberikan komen beliau tentang isu pertahanan rapuh.
“Kami adalah pasukan yang ofensif. Jadi, pertahanan kami tidak akan berada dalam situasi terbaik sepanjang masa. Kami harus mencari jalan untuk menyeimbangkan pasukan ini.”
“Beberapa pemain kami bermain dengan kaki yang agak ‘berat’ hari ini selepas aksi Khamis lalu.”
Ini pula komen Wenger tentang kad merah Elneny dan insiden Wilshere dengan Jack Stephens. Mark Hughes berpandangan, Wilshere juga seharusnya dilayangkan kad merah.
Ini kerana Wilshere menarik baju Stephens sehingga koyak dan membuatkan pemain itu marah. Beliau berkata:
“Agak mengecewakan apabila pengadil tidak melihat Wilshere juga ada tindak balas kepada Stephens. Kedua-dua mereka memang patut dibuang padang.”
Wenger pula menyatakan beliau tidak begitu jelas tentang insiden Wilshere tetapi beliau yakin kad merah Elneny adalah tidak patut.
“Jujurnya saya tak nampak apa sebenarnya berlaku melibatkan Jack. Tentang kad merah Elneny, itu agak mengejutkan. Elneny pemain yang bersih dan bukan seorang yang agresif.”
“Dia ada menyentuh muka pemain lain ke tak? Jika ada, rasanya itu tak disengajakan.”
“Saya akan tengok sekali lagi insiden itu. Jika boleh, esok juga saya akan menghantar rayuan jika ada. Buat masa ini saya tak tahu lagi.”