Adalah satu kerugian buat Arsenal apabila mereka melepaskan Aaron Ramsey ke Juventus menurut bekas pengurus The Gunners, Arsene Wenger.Ramsey menandatangani perjanjian kontrak selama empat tahun untuk menyertai Juventus secara percuma pada Julai akan datang.
Perpindahan tersebut menamatkan tempoh 11 tahun khidmat pemain antarabangsa Wales itu bersama Arsenal selepas berhijrah daripada Cardiff pada 2008.
Rugi
Wenger adalah pengurus yang bertanggungjawab membawa Ramsey ke Arsenal serta mengembangkan potensi pemain tersebut. Maka tidak hairanlah jika Wenger memahami kualiti permainan dan kelebihan yang dimiliki oleh pemain tengah berusia 28 tahun itu.
“Itu [perpindahan] akan menjadi kerugian bagi Arsenal. Saya boleh katakan ia [perpindahan] juga akan menjadi langkah yang menarik bagi Ramsey.”
“Dia adalah pemain yang hebat apabila bergerak ke hadapan. Kualitinya ialah, dia boleh menyimpan bola dan dia boleh membuat gerakan menarik dari baris kedua.”
“Anda tidak akan boleh menemukan banyak pemain sekarang ini yang boleh membuat pergerakan tanpa bola dari tengah. Ini akan menjadi kelebihan yang menarik bagi Juventus,” kata Wenger.
Salah Wenger dan Gazidis
Sementara itu, legenda Arsenal, Ian Wright sebelum ini pernah mendedahkan masalah yang dihadapi Ramsey di Emirates.
Wright menuduh Wenger dan CEO kelab, Ivan Gazidis sebagai punca Arsenal terpaksa melepaskan Ramsey.
Menurutnya, mereka berdua gagal mencari jalan penyelesaian dalam isu lanjutan kontrak Ramsey bersama Arsenal.
“Dia [Wenger] telah keliru nagaimana untuk menangani situasi Ramsey. Beliau seharusnya berbincang dengan Ivan Gazidis yang pemain [Ramsey] ini harus segera menandatangani kontrak baru. Beliau sepatutnya melakukan segala usaha yang terdaya untuk menghalangnya keluar dari pasukan. Yang saya hairan, bagaimana mungkin mereka lebih fokus urusan lain daripada mengurus hal seperti ini.”
“Mempertahankan Ramsey adalah tugas Gazidis. Dia seharusnya menyedari bahawa Ramsey adalah aset yang berharga untuk Arsenal.” kata Wright.