‘Welcome To The Home Of Champions’ – Asbab, Impian Dan Keberanian Syahmi Safari Ke JDT

Syahmi Safari kini sah bergelar pemain skuad Harimau Selatan selepas diumumkan sebagai pemain baharu juara Liga Super Malaysia (MSL) lapan kali berturut-turut.

Melalui sebuah video ringkas yang dikongsikan oleh JDT melalui rangkaian media sosial kelab itu, Syahmi tiba di Stadium Sultan Ibrahim – dianggap sebagai salah sebuah stadium terbaik di rantau ini – dengan penuh bergaya.

Tampil bersuit dan didatangkan dengan sebuah limosin mewah, Syahmi disambut oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards sebelum menandatangani kontrak untuk bergelar pemain kelab terbesar di Malaysia itu.

Sebenarnya ia tidak sukar untuk meramal ke manakah hala tuju Syahmi Safari selepas beliau sah meninggalkan Selangor FC pada musim lalu.

Dan pengumuman yang dinanti-nantikan akhirnya tiba pada hari ini. Apakah perkara seterusnya bakal menanti Syahmi selepas ini?

Home of Champions

Ada sebab Stadium Sultan Ibrahim turut digelar sebagai ‘Home of Champions’. Ini kerana mana-mana pemain yang beraksi bersama JDT tidak pernah mengakhiri musim dengan kekecewaan, dan hampir pasti akan memperolehi sekurang-kurangnya satu kejuaraan setiap musim.

Untuk saingan Liga Super Malaysia (MSL) misalnya, JDT telah menunjukkan dominasi penuh menjuarai divisyen tertinggi bola sepak negara itu saban musim sejak 2014 sehingga 2021. Tidak keterlaluan untuk mengatakan JDT mempunyai peluang besar untuk mengulangi kejayaan sama untuk musim 2022.

JDT Bunga Api

Selain itu, JDT juga adalah juara Piala Malaysia pada 2017 dan 2019, pemenang Piala Sumbangsih 2015, 2016, 2018, 2019, 2020, 2021; dan juga Piala FA pada musim 2016.

Tidak dilupakan juga kejayaan bersejarah merangkul Piala AFC pada 2015, dan sehingga kini kelab itu menjadi kelab tunggal dari rantau Asia Tenggara yang pernah menjulang trofi tersebut.

Ia pasti sesuatu yang mengujakan buat Syahmi Safari untuk peluang mengutip medal kejuaraan pertamanya di peringkat kelab bermula musim ini.

Peluang beraksi di AFC Champions League

Merupakan juara MSL selama lapan kali berturut-turut, bagaimana pun peluang JDT untuk beraksi di pentas elit kelab Asia hanya hadir pada 2019 selepas Malaysia diberikan satu slot automatik di pertandingan tersebut.

Jika selama ini Syahmi hanya mampu menyaksikan rakan-rakan di dalam skuad kebangsaan seperti Safawi Rasid, Syameer Kutty, Akhyar Rashid, dan lain-lain melalui sendiri pengalaman bersaing dengan barisan pemain terhebat di Asia, kini beliau sendiri turut berpeluang untuk berbuat demikian.

Beraksi di pentas saingan seperti AFC Champions League bukan sekadar bermakna menentang pasukan dan pemain terbaik dari rantau Asia. Di sini, Syahmi turut berpeluang untuk memperagakan kemampuan beliau dan cuba memikat pemerhati bakat kelab-kelab besar Asia yang lain.

Setakat ini belum lagi ada pemain dari JDT yang berjaya memikat kelab dari Jepun atau Korea Selatan. Ini menjadikan ia satu cabaran buat Syahmi. Mengapa perlu sekadar menyertai kelab terbesar di Malaysia jika boleh pergi lebih jauh dengan menyertai antara kelab elit di Asia?

Persaingan sengit

Bercakap mengenai kejuaraan dan peluang beraksi di pertandingan Asia, Syahmi Safari bagaimana pun perlu mendahulukan perkara terutama, iaitu untuk membuktikan kemampuan dirinya untuk berada di dalam kesebelasan utama skuad Benjamin Mora.

Seperti kita semua sedia maklum, JDT memiliki pemain cukup berkaliber untuk posisi bek kanan seperti Matthew Davies dan S. Kunanlan. Turut berkemampuan beraksi di posisi bek kiri, Syahmi juga perlu bersaing dengan Corbin Ong yang bukan calang-calang pemain.

Matt Davies Kipre Tchetche Kedsh JDT 2021
FOTO: JST

Oleh itu, kita boleh jangkakan Syahmi bakal berhadapan saingan sengit daripada pemain-pemain ini sebelum dapat meyakinkan Benjamin Mora beliau selayaknya berada di dalam kesebelasan utama pasukan.

Di sebalik usia yang masih dianggap muda (23 tahun), Syahmi bagaimanapun dianggap matang dan kini bersedia untuk membuktikan sesuatu apabila sanggup menerima tawaran memperkuatkan skuad JDT bermula musim 2022.

Berjaya mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama JDT juga bermakna Syahmi akan mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pemain utama di dalam skuad kebangsaan.

Tanpa mentaliti untuk pergi lebih jauh, kami yakin Syahmi tidak akan memilih untuk berhijrah dan akan sentiasa terus berada di zon selesa seperti sebelum ini.

Rumusan

Kini terpulang kepada Syahmi Safari sendiri untuk mencorak masa depan dan hala tuju kariernya. Beliau kini sudah pun menjadi salah seorang pemain di kelab terbaik di negara ini.

Dan bersama JDT, Syahmi juga bakal dibantu barisan kejurulatihan terbaik, selain fasiliti serba lengkap untuk meningkatkan prestasinya ke tahap yang diharapkan.

Selamat maju jaya buat Syahmi Safari!

Leave a Reply