Wayne Rooney yang akan diberikan penghormatan beraksi pada perlawanan antarabangsa terakhirnya bertemu Amerika Syarikat, hari Jumaat ini menegaskan akan menamatkan karier bola sepak beliau di negara ‘Uncle Sam’ itu.
Penyerang berusia 33 tahun itu dijangka akan dimasukkan sebagai pemain gantian bagi memberikan penghargaan kepada beliau atas sumbangan hebatnya sepanjang bersama skuad kebangsaan England.
”Ia akan menjadi perlawanan terakhir buat saya. Prestasi saya amat baik di Amerika Syarikat dan sekiranya saya mendapat panggilan disebabkan itu (prestasi baiknya), ia mungkin akan menjadi situasi yang berbeza tetapi ini akan menjadi perlawanan terakhir buat saya.
”Saya membuat keputusan untuk berhijrah ke Amerika Syarikat dan sepertimana yang anda tahu apabila saya membuat keputusan ini maka saya akan pertahankannya.”
”Amat penting buat saya untuk memberikan sepenuhnya komitmen terhadap DC United.”
”Saya ada terdengar cakap-cakap yang saya akan dipinjamkan semula ke sini (England) tetapi saya tidak bersedia untuk melakukan perkara tersebut.”
Rooney turut merasakan keputusan yang dilakukan untuk bersara dari kancah antarabangsa cukup tepat walaupun ketika kelihatan beliau masih mampu untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
”Keputusan saya untuk bersara adalah satu keputusan yang tepat.”
”Saya dapat melihat kehadiran pemain muda dan turut merasakan ini merupakan masa yang sesuai untuk saya berhenti dari bermain. Dapat memberikan peluang buat pemain muda untuk mengorak langkah serta diberikan peluang.”
Sebagai rekod, Wayne Rooney telah membuat 119 penampilan antarabangsa dan menjaringkan 53 gol untuk menjadikannya sebagai penjaring terbanyak England sepanjang zaman bagi mengatasi Bobby Charlton di tempat kedua dengan 49 jaringan.