Pengendali Indonesia bawah 23 (B-23), Shin Tae-yong meluahkan rasa tidak puas hati beliau mengenai mutu pengadilan pada aksi akhir Piala AFF B-23 ketika mereka bertemu Vietnam.
Indonesia gagal untuk mengesahkan kejuaraan selepas mereka ditewaskan oleh Vietnam menerusi penentuan penalti 5-6 selepas masing-masing terikat seri tanpa jaringan.
RUNNER UP!🥈
Semangat dan kerja keras yang luar biasa. Jadikan pengalaman ini untuk terus berkembang dan melangkah maju, Garuda! 🦅🇮🇩
Selamat, Timnas U-23 Indonesia! 🫶#KitaGaruda #TimnasDay#GarudaMendunia pic.twitter.com/Uqgok9TqNL
— Timnas Indonesia (@TimnasIndonesia) August 26, 2023
Hadir dengan reputasi cukup tinggi selaku pemenang pingat emas Sukan SEA lalu, Indonesia dijangka mampu mencipta sesuatu pada aksi final ini untuk mengatasi Vietnam.
Namun sebaliknya berlaku, selepas ketumpulan mereka di bahagian serangan menyaksikan banyak peluang-peluang terhidang dilepaskan serta terpaksa ditentukan oleh sepakan penalti.
Seusai perlawanan, Shin menyuarakan rasa tidak puas hati beliau mengenai kualiti pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut iaitu Hiroki Kasahara dari Jepun.
Sepanjang perlawanan tersebut berlangsung, jelas Shin beberapa kali membuat protes tentang keputusan dikeluarkan oleh pengadil perlawanan dengan pertikaian demi pertikaian dibuat beliau.
Disebabkan beberapa kali tindakan Shin yang dianggap tidak terkawal itu menyebabkan pengadil terpaksa melayangkan kad kuning kepadanya pada penghujung perlawanan sebagai suatu amaran.
“Satu perkara yang saya ingin katakan kepada pihak AFF jika mereka ingin para petugas yang sedang berkembang, pemain-pemain muda ini juga turut berkembang.
“Mereka sepatutnya perlu mengetahui beberapa perkara yang saya tidak perlu ulas dengan lebih lanjut, tetapi beberapa situasi pada perlawanan ini langsung tidak membantu pemain.
“Pengadil perlawanan yang bertugas untuk aksi akhir ini jelas sering membuat banyak kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Situasi sebegini jelas dapat membantutkan perkembangan para pemain itu sendiri, padahal mereka sudah menunjukkan suatu usaha cukup besar bagi mengharungi aksi tersebut,” luah Shin menerusi Bola.com.
Walaupun begitu, pengendali dari Korea Selatan ini tetap mengucapkan tahniah kepada Vietnam kerana menewaskan mereka di pentas final.
Malah, Shin juga turut memberi saranan kepada Vietnam untuk melihat kembali video perlawanan tersebut bagi menilai tindakan dibuat mereka sepanjang saingan itu betul atau salah di mata pengadil perlawanan.
Starlight!✨#KitaGaruda #TimnasDay #GarudaMendunia pic.twitter.com/cfDlJYGdxx
— Timnas Indonesia (@TimnasIndonesia) August 27, 2023
“Terima kasih banyak saya ucapkan kepada skuad Indonesia serta tahniah buat Vietnam kerana menjuarai kejohanan edisi kali ini.
“Sekali lagi tahniah kepada Vietnam, anda tahu tiada masalah untuk membuat satu kesalahan dalam perlawanan, tetapi jika anda membuat lebih pada itu ianya tidak adil.
“Mungkin anda semua boleh menilai kembali selepas melihat video perlawanan akhir tersebut untuk menentukan mana yang betul dan salah,” luah beliau akhir sekali.