Tidak sedikit kritikan yang diterima oleh barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Malaysia apabila memasukkan nama penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula dalam senarai 29 pemain yang dipilih untuk menjalani latihan pusat dan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa.
Apa tidaknya, pemain berusia 34 tahun tersebut dianggap sebagai ‘projek gagal’ Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selapas tidak memberikan sumbangan yang diharapkan, jauh sekali memberikan impak positif kepada skuad Harimau Malaya selepas diberi peluang.
Lebih membingungkan lagi, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu langsung tidak mempunyai minit permainan sepanjang musim ini dan ia seolah-olah satu ‘pencabulan’ kepada maruah skuad negara.
Namun di sebalik kontroversi tersebut, terdapat satu fenomena luar biasa yang berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika aksi persahabatan Malaysia menentang Brunei dan Hong Kong tempoh hari.
De Paula menjadi tumpuan dan namanya disorak oleh para penyokong yang hadir.
“De Paula! De Paula! De Paula! De Paula!”
Bermula dari sesi pemanas badan, ketika dimasukkan sewaktu pertukaran pemain sehinggalah setiap kali beliau menyentuh bola, penyokong tidak berhenti bersorak untuknya.
Ia termasuklah ketika Malaysia mendapat sepakan penalti ketika aksi menentang Brunei, para penyokong melaungkan nama De Paula sebagai isyarat agar beliau yang diberi peluang mengambil sepakan penalti.
Persoalannya, apakah maksud sebenar kepada tindakan tersebut? Adakah penyokong Malaysia mempunyai mesej tersirat di sebalik sorakan yang diberikan?
Bagi mendapatkan jawapan, Semuanya BOLA melakukan tinjauan dengan bertanya perkara ini kepada seorang wartawan senior yang tidak asing lagi dalam arena sukan negara, Hasnida Hanim.
Menurut pemberita TV3 berkenaan, mungkin ianya boleh dilihat dari sudut yang positif di mana penyokong masih meletakkan harapan terhadap De Paula untuk membantu Malaysia meraih keputusan terbaik di peringkat antarabangsa.
“Kalau kita tengok dalam stadium memang penyokong banyak jerit nama De Paula. Mungkin salah satunya kerana dia dah buktikan yang dirinya masih berbisa dan mampu jaringkan gol,” ujar Hasnida yang ditemui selepas perlawanan Malaysia menentang Hong Kong.
“Jadi untuk perlawanan kali ini pun mungkin penyokong harapkan benda yang sama juga, lebih-lebih lagi dia adalah pemain naturalisasi, jadi sepatutnya ada sesuatu yang dia perlu beri balik [balasan] kepada Malaysia.
“Harapan penyokong adalah dia bukan sahaja dapat membantu pasukan, tapi dapat juga menjaringkan gol, itulah apa yang mereka mahukan daripada De Paula.”
Berdasarkan jawapan ini, mungkin kita boleh mengatakan bahawa ia adalah sisi positif ‘ekor Harimau Malaya’ yang sentiasa terbuka dan percaya dengan percaturan barisan kejurulatihan Malaysia.
Bagi mereka, pemilihan sudah dibuat, pemain sudah dipanggil dan wang ringgit pun sudah dibelanjakan untuk menampung keberadaan De Paula sepanjang bersama skuad kebangsaan. Jadi apa lagi yang boleh dilakukan kalau bukan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemain berkenaan.
Bagaimanapun, nada berbeza dizahirkan oleh seorang lagi pengamal media Afiq Shari yang secara terus terang mengatakan tindakan tersebut hakikatnya adalah satu sindiran berbentuk ‘halus’.
“Rakyat Malaysia ni kaya dengan seni. Salah satunya adalah seni menyindir, atau dalam bahasa kasar generasi baharu sekarang mereka sebut ‘menganjing’,” ujar pengendali media sosial Sukanz itu.
“Kita pun tahu realiti sebenar bahawa De Paula bukanlah pemain yang disukai penyokong selepas apa yang ditampilkan apabila diberi peluang beraksi untuk Malaysia sebelum ini,” ujarnya.
“Tetapi beliau tetap menjadi pilihan untuk diturunkan kedua-dua perlawanan persahabatan ini. Jika mahu dinilai berdasarkan prestasi, selain dari satu bantuan jaringan dan satu gol penalti yang dijaringkan ketika menentang Brunei, tiada apa pun yang boleh dibanggakan.
“Dalam perlawanan itu ada tiga atau empat peluang terbuka yang dia gagal terjemahkan kepada jaringan. Kemudian kemasukannya semasa menentang Hong Kong pula telah ‘membunuh’ tempo permainan pasukan kerana sikapnya yang malas berlari di atas padang.
“Jadi adakah barisan kejurulatihan tidak sedar akan hakikat ini? Sorakan itu sebenarnya adalah mesej tersirat kepada mereka.”
Setakat ini kedua-duanya merupakan pendapat peribadi dan mungkin ada yang tidak bersetuju dengan andaian yang diberikan.
Adakah De Paula akan terpilih dalam senarai akhir 23 pemain yang akan membawa cabaran skuad kebangsaan di pusingan kelayakan Piala Asia 2023? Sama-sama kita nantikan.