Quantcast

BERITA

Warriors FC Berdepan Tuduhan Gagal Melunaskan Gaji Berjumlah Lebih RM1 Juta

Sebuah kelab di Liga Premier Singapura (SPL), Warriors FC ketika ini sedang menghadapi 107 pertuduhan kerana gagal membayar gaji keseluruhan stafnya dan juga para pemain pada 7 Oktober.

Mengikut kertas pertuduhan yang didedahkan oleh Straits Times, juara liga sebanyak sembilan kali itu didapati gagal membayar gaji para pemain, barisan kejurulatihan dan juga pengurusan pasukan yang mencecah sehingga $350,000 (lebih RM1 juta) sejak Julai lalu.

Sebutan semula kes telah ditetapkan pada 5 Disember depan dan kelab telah diminta menghantar wakil untuk hadir ke mahkamah.

Walaupun tidak menerima gaji hampir tiga bulan, Warriors FC telah berjaya melangkah ke pentas akhir Komoco Motors Singapore Cup pada 2 November lalu sebelum tewas 3-4 kepada Tampines Rovers.

Mereka melangkah ke final selepas menewaskan juara liga, DPMM FC Brunei 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 5-5 secara agregat dalam dua pertembungan.

Untuk saingan liga pula, pasukan yang digelar The Warriors itu menamatkan musim pada kedudukan ketujuh daripada sembilan pasukan yang bertanding – dipisahkan satu mata skuad muda Singapura, Young Lions dan enam mata mengatasi Balestier Khalsa.

Sebelum ini, mereka pernah dihalang mengambil pemain import apabila didapati melalui masalah yang sama pada Oktober tahun lalu dan hukuman tersebut ditambah lagi pada Mei, selepas pihak kelab mengesahkan masalah tersebut masih gagal diselesaikan.

Pihak Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) menjelaskan bahawa mereka sedang menyiasat perkara ini bersama wakil kelab.

“Terdapat persoalan mengenai bagaimana mereka [Warriors FC] mengendalikan kewangan mereka dan kami sedang menyiasat perkara ini bersama [pihak kelab] untuk mengetahui punca kepada segala masalah tersebut,” ujar jurucakap FAS pada Julai lalu.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Tenaga Kerja Singapura (MOM) menjelaskan kepada Straits Times yang siasatan telah berjalan sejak Mei 2019 dan Warriors FC bakal berdepan dengan denda sehingga $15,000 dan dipenjara sehingga enam bulan.

“Siasatan MOM mendapati mereka [Warriors FC] gagal mematuhi Akta Pekerjaan dan kami akan teruskan untuk proses hukuman.

“Di bawah Akta Pekerjaan, majikan yang didapati gagal membayar gaji kepada para pekerja, boleh didenda sehingga $15,000 [lebih RM45 ribu] dan boleh dipenjara sehingga enam bulan. Denda akan berganda sekiranya kesalahan tersebut didapati berulang,” jelas jurucakap MOM kepada pihak media berhubung isu ini.

Kredit Featured Image: Straits Times / DESMOND WEE