Warkah Dari Komuniti Bola Sepak Sosial Untuk Perhatian Segera Menteri Belia & Sukan

Sekurang-kurangnya ramai boleh menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan beberapa bidang sukan di dalam negara untuk kembali beroperasi.

Walaupun Majis Keselamatan Negara (MKN) telah melandaikan peraturan dengan membenarkan sektor sukan turut dibuka, sebenarnya tidak semua bidang sukan dibenarkan beroperasi. Antaranya ialah bola sepak akar umbi.

Bola sepak akar umbi semakin tenat

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 dimulakan pada pertengahan Mac lalu tahun lalu, industri bola sepak tidak terkecuali daripada menerima impak kewangan.

Tatkala saingan tertinggi di dalam negara seperti saingan Liga Malaysia masih diberi ruang bernafas mengurangkan impak kerugian dengan meneruskan pertandingan, keadaan berbeza dihadapi industri secara keseluruhan terutama bola sepak sosial.

Sebelum bermulanya pandemik, bola sepak akar umbi termasuk akademi bola sepak tempatan, saingan bola sepak sosial dan komuniti dilihat tumbuh subur di seluruh negara sebelum ini. Keadaannya kini pula sebaliknya.

Kajian yang dilakukan pada Perintah Kawalan Pergerakan 1 (PKP1.0) misalnya menunjukkan bola sepak sosial dan amatur mengalami kerugian RM11.5 juta sebulan.

Pelbagai pertemuan dengan agensi dan kementerian berkaitan telah dilakukan sebelum ini, namun sehingga kini industri bola sepak akar umbi masih menjadi antara sektor yang belum dibenarkan beroperasi. Sehingga bila pengusaha padang bola sepak misalnya, harus menanggung kerugian? Sampai bila seorang jurufoto sukan mampu bertahan selepas lebih 18 bulan tidak turun ke padang?

Berikut adalah luahan daripada mereka yang terlibat secara langsung dengan industri bola sepak sosial di negara ini.

Warkah untuk Menteri Belia & Sukan

Tulisan ini dipetik dari laman Facebook, Saudara Shazwan Wong yang merupakan salah seorang pengusaha padang bola sepak dan akademi bola sepak di Lembah Kelang, dan diterbitkan dengan kebenaran:

Salam YB Ahmad Faizal Azumu,

Tahniah untuk lantikan sebagai Menteri di Kementerian Belia dan Sukan. Izinkan saya ajukan soalan-soalan untuk semua.

Apakah industri paling terkesan selain daripada bola sepak? Mungkin gimnasium dan badminton tetapi merea masih boleh beroperasi berbanding bola sepak yang ditutup sepenuhnya. [Sehingga kini] telah ditutup lebih dari tempoh 12 bulan! 

Bola sepak sering dianggap sebagai sukan berisiko [untuk menjangkiti Covid-19] tetapi di manakah data dan sains untuk menyokong dakwaan ini? Selepas dua tahun, di manakah kluster bola sepak, di manakah bahayanya bola sepak?

Mengapa perlu bersikap “double standard” dengan membenarkan industri yang sering menyumbangkan kes terus beroperasi? Kebiasaannya mereka akan diarah tutup 3-4 hari, diikuti proses pembersihan dan dibenarkan untuk beroperasi semula. Mengapakah industri bola sepak yang belum merekodkan kluster tidak dibenarkan beroperasi dan dilayan denga cara serupa?

Kerugian kini mencecah jutaan ringgit. Ramai jurulatih, jurugambar, penganjur, pengadil dan ramai lagi yang terkesan disebabkan arahan tutup yang berterusan ini.

Bagi anak muda yang mengambil bahagian di dalam bola sepak, mereka kini telah kehilangan dua tahun tempoh pembangunan yang sepatutnya mereka lalui. Tidak kurang juga ramai yang telah melupakan terus bola sepak.

Benarkan kami untuk kembali beroperasi! Sekurang-kurangnya tampil dengan pelan untuk membenarkan kami bermula kembali. Bukannya 100%, tetapi sekurang-kurangnya pelan itu ada seperti berikut:

  • Benarkan mereka yang sudah mendapat dua dos suntikan vaksin untuk kembali bermain bola sepak.
  • Benarkan kami beroperasi sekurang-kurangnya pada kapasiti 60%. Jika tidak boleh mengambil tiga tempahan padang pada satu-satu malam, benarkan kami ambil sekurang-kurangnya dua tempahan.
  • Operasi secara 100% dibenarkan selepas mencapai Fasa 4 pemulihan.
  • Penggunaan padang secara berjadual untuk mengelakkan ramai yang hadir pada satu-satu masa. Contoh: 8pm – 930pm / 10pm – 1130pm. Tempoh 30 minit di antara dua slot untuk membenarkan pemain keluar dan masuk ke padang tanpa bersesak.

Pihak kami mempunyai banyak SOP lain yang telah disediakan sejak dari mula. Saya dan beberapa pihak lain terutama Nadzry Abu Bakar, Challo FC, padangbolasepak, dan beberapa pemain industri yang lain bersedia untuk melakukan perjumpaan dan membentangkan apa yang telah dilakukan ketika Menteri yang sebelumnya.

Benar, kami tahu anda dan pihak KBS akan membawa usul kepada MKN dan KKM. Tetapi kami memerlukan lebih dari itu. Kami memerlukan seseorang yang benar-benar mampu memperjuangkan perkara ini.

Sehingga kini semua pihak di dalam komuniti nola sepak, dan pengusaha telah patuh setiap SOP diberikan dengan 110% komitmen. Disebabkan itulah tiada kluster dari bola sepak ketika dibenarkan beroperasi seketika dulu walaupun belum diberikan vaksinasi.

Dengarlah luahan kami. Bola sepak perlu kembali!

Cadangan bantuan pemulihan

Turut menarik perhatian kami adalah coretan salah seorang pengusaha padang bola sepak, Saudara Nadzry Abu Bakar di akaun Twitter beliau berkenaan kaedah yang boleh dimainkan kerajaan untuk membantu industri dan ekosistem bola sepak negara secara amnya:

Setelah hampir 2 tahun tak dibenarkan beroperasi (penuh) akibat PKP berpanjangan, kami pemain industri khasnya operator fasiliti sukan (yang sering dianak-tiri) memohon pertimbangan Kerajaan Malaysia untuk memberi bantuan dlm bentuk yang lebih praktikal & efektif seperti berikut:

1. Bantuan kewangan RM10ribu sebulan bermula Mei’21 hingga selepas 3 bulan operasi penuh dibenarkan semula. Operator yang terima insentif ini wajib beri komitmen kepada KBS utk ‘membayar semula’ bantuan yang diambil melalui memberi kemudahan penyewaan venue secara percuma (‘off-peak slot’) untuk sebarang program yang dianjurkan oleh KBS – bersamaan dengan 50% nilai bantuan.

2. Pengecualian penuh cukai untuk tahun 2021 hingga 2023 (3 tahun minima) khas kepada syarikat-syarikat operator fasiliti sukan.

3. Pengecualian khas cukai (sepanjang tempoh) utk pemilik2 tanah/bangunan yang menyewakan premis mereka kepada operator2 fasiliti sukan. Ini adlh utk menggalakkan pemilik2 tanah/bangunan lebih berminat + memanjangkan lagi tempoh perjanjian sewa dgn operator fasiliti sukan.

4. Subsidi penuh atau minimum 50% untuk bil elektrik (TNB) di fasiliti-fasiliti sukan untuk sekurang-kurangnya 1 tahun bermula operasi kembali seperti biasa.

5. Mewujudkan skim ‘cash-back’ RM100 sebulan (maksima) untuk org awam yg menggunakan fasiliti sukan – melalui penebusan resit sewaan drpd fasiliti sukan yang berdaftar. Kempen ini mungkin boleh dibuat untuk tempoh 3 bulan pertama slps operasi penuh dibenarkan semula nanti bagi menggalakkan penggunaan fasiliti sukan oleh orang awam.

6. Dan yang PALING PENTING, membenarkan SEMUA aktiviti sukan & fasiliti sukan beroperasi semula secara lebih khusus dan BUKAN berdasarkan Fasa Pelan Pemulihan Negara yang bersifat terlalu general:

  • Benarkan aktiviti sukan dijalankan di fasiliti2 berdaftar DAN memenuhi kriteria SOP yang ditetapkan. JANGAN benarkan lagi fasiliti sukan awam yang tanpa kawalan penuh operasi.
  • Benarkan untuk mereka yang sudah lengkap 2 dos vaksin.
  • Benarkan untuk negeri yang sudah mencapai ‘herd-immunity’
  • Benarkan untuk mukim/daerah yang mempunyai kadar kematian & kemasukan hospital yang rendah (satu kadar yang sesuai)
  • Hanya bertindak menutup fasiliti yang mencetuskan kluster (untuk tempoh yang perlu), dan BUKAN menutup semua fasiliti & aktiviti sukan

Penutup

Tidak keterlaluan jika kita katakan industri bola sepak negara khususnya di peringkat akar umbi kini berada di peringkat kritikal.

Siapa lagi yang boleh kita harapkan untuk membantu dan perjuangkan industri ini jika bukan menteri yang memegang jawatan di Kementerian Belia dan Sukan.

Besar harapan kami warkah ini sampai ke hadapan YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Belia & Sukan, dan tindakan segera mampu diambil oleh beliau demi menyelamatkan industri ini.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN