Warkah Editor: Selepas Hampir 4 Tahun, Selamat Tinggal Semuanya BOLA

Semuanya BOLA

Sudah menjadi lumrah di mana setiap pertemuan akan berakhir dengan perpisahan tanpa mengira apa sahaja perkara di kehidupan yang sekadar merupakan pinjaman dari Yang Maha Esa ini.

Keadaan itu juga sudah pasti turut berlaku dalam kancah bola sepak apabila ketua pasukan yang setia seperti Steven Gerrard dan John Terry juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat penyokong setia pasukan yang diwakili lebih daripada 20 tahun sepanjang karier mereka.

Ramai lagi contoh pemain profesional yang boleh dikaitkan dengan keadaan tersebut mengambil kira faktor penghijrahan atau persaraan buat seseorang pemain tetapi perkara itu juga tidak terkecuali terpaksa dihadapi oleh penulis bola sepak.

Kenangan bersama rakan seperjuangan di Semuanya BOLA.

Hal ini demikian kerana, setelah bergelar penulis di Semuanya BOLA sejak 22 Jun 2017, dengan berat hatinya saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat laman bola sepak terkenal di Malaysia ini yang mana artikel ini adalah penulisan terakhir saya di sini sebelum beralih angin bermula esok.

Terlalu banyak kenangan yang perlu saya coretkan jika ingin berkongsi tentang suka duka ‘perjuangan’ bersama syarikat ini. Sejujurnya, saya mahu menjadi seumpama watak utama filem ‘Angel Has Fallen’, Mike Benning yang hanya memikirkan untuk melindungi Presiden Trumbull [merujuk kepada Semuanya BOLA] melebihi segalanya.

Hampir empat tahun bersama Semuanya BOLA, terlalu banyak pengalaman yang mematangkan fikiran serta mendewasakan saya dalam mengharungi dunia kewartawanan yang sebenarnya terlalu asing buat saya sebelum ini. Dari seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kaunseling kepada penulis bola sepak. Memang asing, bukan!

Namun, itulah dinamakan sebagai rezeki. Sebagai seorang peminat bola sepak sejak dari usia enam tahun, saya mencurahkan segalanya bagi memanfaatkan peluang yang diberikan oleh pengurusan tertinggi untuk turut sama menjadi warga kerja di Semuanya BOLA.

Tidak dapat digambarkan perasaan gembira apabila dihubungi oleh Ketua Editor, Ahmad Muzammil pada penghujung tahun 2016 yang menyatakan hasrat untuk membawa saya ke Semuanya BOLA. Mana tidaknya di Semuanya BOLA sudah ada penulis-penulis berkualiti hebat seperti Axello, Gary Lugard dan Nazreen Izahar.

Bagaimanapun, pada ketika itu saya terpaksa menolak permintaan Muzammil kerana baru sehari melapor diri sebagai Pekerja Sambilan Harian di Kementerian Wilayah Persekutuan.

Kalau dah jodoh tak kemana, saya memilih untuk menyertai Semuanya BOLA selaku penulis separuh masa dan daripada situ, saya tidak memandang ke belakang lagi untuk mempertingkatkan kualiti penulisan dari semasa ke semasa.

Selain daripada tiga nama yang disebut di atas, peluang bekerja dengan sahabat penulis lain seperti Al Zaim Arzaman dan Nur Hadi Mohamad juga adalah satu kenangan bernilai untuk dikenang kerana masing-masing memiliki ‘senjata’ dalam penulisan mereka. Persefahaman dalam bekerja serta hubungan erat sebagai satu ‘pasukan’ dalam kalangan kami jelas terserlah meskipun amat dapat bersua muka di dunia nyata.

Bercanggah pendapat dan bergaduh itu perkara lumrah buat kami tetapi kerana ‘passion’ tinggi dalam bola sepak, semua itu hanya bersifat sementara dan dapat bekerjasama dengan baik selepas itu.

Ketika Majlis Pelancaran Jersi Ketiga Manchester City di Shanghai, China.

Tidak keterlaluan mengatakan bahawa Semuanya BOLA memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri serta karakter yang lebih baik buat saya dari semasa ke semasa. Berkat pengalaman di sini, saya akan membuka lembaran baharu dalam karier sebagai penulis bola sepak.

Pengalaman ke Turki untuk melakukan ‘Stadium Tour’ di Vodafone Park [Besiktas], diberikan peluang ke Shanghai untuk liputan Majlis Pelancaran Jersi Ketiga Manchester City, melakukan tugasan International Champions Cup di Singapura serta dua perlawanan skuad kebangsaan menentang Korea Utara di Buriram, Thailand merupakan antara pelajaran dan penghargaan terbaik diberikan oleh Semuanya BOLA buat saya.

Terima kasih atas segalanya dan semua ini merupakan kenangan indah yang tidak akan saya lupakan hingga ke akhir hayat.

Buat para peminat dan pembaca, terus berikan sokongan buat Semuanya BOLA. Sahabat-sahabat saya yang lain pastinya akan berusaha keras untuk memberikan yang terbaik buat anda semua.

Jumpa lagi, Semuanya BOLA!

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN