Quantcast
WANTED: Bapa Pembangunan Bola Sepak Moden Malaysia


KAJIAN & FAKTA

WANTED: Bapa Pembangunan Bola Sepak Moden Malaysia

Monday, 20 Mar 2017

Pada hujung minggu ini, Kongres FAM Ke-53 akan berlangsung. Melalui kongres ini, FAM bakal menerima presiden barunya. Kita akan menerima pemimpin baru arena bola sepak Malaysia.

Bagaimanapun ramai peminat bola sepak Malaysia pastinya sudah masak dengan retorik Kongres FAM. Kongres sebelum ini tidak lebih dari sekadar menukar pemandu. Tetapi kereta dan haluannya masih sama.

Justeru, kongres kali perlu bertukar haluan dan keretanya sekali. Bukan hanya pemandu. Tiada siapa boleh menjamin nasib bola sepak Malaysia akan berubah 180 darjah dengan pertukaran presidennya.




Tetapi setidak-tidaknya tranformasi besar-besaran ini boleh memberi kita sedikit kepercayaan bahawa bolasepak Malaysia masih mempunyai nyawa dan masa depan.

Malaysia belum menjadi Negara Bola Sepak sebenar

Kalau di Brazil, bola sepak umpama sebuah agama. Sehinggakan anak kecil yang baru dilahirkan diletakkan bola dalam buaiannya. Supaya suatu hari nanti anak kecil itu menjadi seorang bintang bolasepak. Di Brazil, bola sepak berevolusi daripada sebuah sukan kepada sebuah kepercayaan.

Kemudian pernahkah kita terfikir; bagaimana Mario Gotze – seorang anak profesor kejuruteraan elektrik di Technical University of Dortmund – boleh menjadi seorang pemain bola sepak?

Dalam konteks ini, kita sendiri dapat melihat bagaimana para ibu bapa di Jerman memahami karier pemain bola sepak ini. Mereka tidak ‘melayannya’ sebagai profesion kelas kedua.

Persoalannya; adakah situasi ini berlaku di Malaysia?

Perlu diingat untuk membina sebuah Negara Bola Sepak, ia memerlukan sifat berkorban, berjuang dan tingkah laku profesional daripada semua pemegang taruh bola sepak Malaysia.

Kita sudah puas bercakap berkenaan DNA bola sepak, pembangunan bolasepak di peringkat akar umbi, mahupun pengurusan bolasepak yang perlu mencapai standard yang sepatutnya. Kita juga sudah puas bertukar-tukar jurulatih kebangsaan, formula dan pendekatan.

Namun pada akhirnya, bolasepak kita masih di tahap yang sama. Dan semakin hari, semakin membimbangkan. Selepas sekian banyak “transformasi” yang kita lakukan, pasti peminat dan penggiat industri ini bertanya; dimanakah silap dan puncanya?

Bagaimana kita bisa menjawab semua soalan ini jika kita belum menjawab persoalan: adakah kita memiliki seorang Bapa Pembangunan Bola Sepak Moden yang boleh menjadikan kita sebagai sebuah Negara Bola Sepak?

Kongres FAM 2017 pada Sabtu ini harus menjawab soalan ini terlebih dahulu.

Tugas Bapa Pembangunan Bola Sepak Moden

Hari ini kita boleh melihat evolusi dunia bolasepak dengan kemajuan sains sukan, taktikal, teknikal, falsafah, undang-undang dan pendekatan. Apa yang kita saksikan di dalam padang itu hanyalah satu sudut kecil. Sedangkan yang di luar itu (aspek pentadiran) adalah perkara yang lebih besar.

Mereka bertanggungjawab untuk menyusun, merangka dan merencanakan segalanya. Jika ia menjadi, ia menyebabkan segala usaha di atas padang menjadi sesuatu yang bermakna.

Lihat saja revolusi bola sepak Jerman. Kejayaan mereka menjadi juara dunia pada 2014 adalah hasil perancangan dan usaha komprehensif yang mereka mulakan pada tahun 2000.

Saya amat tertarik dengan kata-kata Jorg Daniel, Pengarah Program Pengurusan Bakat Jerman (DFB) iaitu:

“If the talent of the century happens to be born in a tiny village behind the mountains, from now on we will find them”.

Bayangkan jika pentadbir di atas sudah berfikiran positif sebegitu, ia pastinya akan mempengaruhi kerja jurulatih-jurulatih di atas padang.

Selain Jerman, Belgium juga sudah mula menuai hasil dari tuaian yang mereka mulakan pada 10 tahun yang lalu. Nama-nama seperti Eden Hazard dan Romelu Lukaku adalah nama-nama prospek pasukan kebangsaan masa depan mereka pada tahun 2006.

Jika Eropah dikatakan terlalu jauh, lihat sahaja Jepun. Sebuah negara yang asalnya dahulu menjadikan Malaysia sebagai contoh pembangunan bolasepak profesional. Tetapi kini sudah jauh ke depan menerusi Pelan 100 tahun mereka.

Gambar oleh: (Kyodo News via Getty Images)

Impian mereka ketika memulakan liga profesional pada tahun 1992 adalah untuk mempunyai liga bolasepak profesional terbaik di Asia. Untuk memiliki ratusan kelab bolasepak profesional dan akhirnya memenangi Piala Dunia 2092 sebagai pelengkap visi 100 tahun mereka.

Semuanya ini terhasil apabila pentadbir mereka mempunyai ‘jiwa’ dalam memahami kehendak masa depan bola sepak mereka. Dan perkara inilah yang harus dijiwai oleh Bapa Pembangunan Bolasepak Moden kita.

Bapa Pembangunan Bola Sepak Moden perlu abadikan hidupnya untuk bola sepak

Untuk menjadi seorang Bapa Pembangunan Bola Sepak Moden, beliau bukan sekadar perlu mempunyai pengaruh, pengetahuan dan minat. Beliau juga haruslah mempunyai jiwa dan memastikan dirinya dikelilingi oleh orang yang berkongsi jiwa yang sama. Jatuh bangun, sihat sakit dan hidup dan matinya adalah untuk bola sepak Malaysia.

Dengan jiwa sebegini pada Bapa Pembangunan Bola Sepak Moden yang kita nantikan, ia menjadi asas pembinaan sebuah Negara Bola Sepak.

Bagaimana pula dengan rakyatnya? Sudah semestinya pemegang-pemegang taruh yang lain seperti pemain, jurulatih, penyokong, pengadil, media, persatuan negeri dan ratusan lagi kelab-kelab bolasepak kecil perlu sama-sama berkongsi ‘jiwa’ yang sama.

Bapa Pembangunan Bola Sepak Moden perlu ajak rakyat ubah mentaliti

Bapa Pembangunan Bola Sepak Moden juga perlu kental mendepani cabaran untuk mengubah mentaliti ‘rakyat’ Negara Bola Sepak. Mentaliti ‘express lane’ yakni sentiasa mencari jalan pintas untuk membuat kerja (lantas mengabaikan aspek pembangunan yang komprehensif) harus dibuang sejauh-jauhnya.

Selain itu, beliau juga perlu mengikis mentaliti berikut:

  • Mentaliti yang mengharapkan orang lain untuk membuat perubahan, tetapi bukan diri sendiri.
  • Mentaliti masih mencari tiket percuma ketika pasukan yang konon diminati mara ke perlawanan akhir.
  • Mentaliti masih membeli jersi tiruan dan bukan jersi original yang boleh menjana pendapatan untuk pasukan.
  • Mentaliti masih malas membaca dan enggan menjadi pemegang taruh bolasepak yang berilmu.
  • Mentaliti percaya bulat-bulat dengan bahan yang diedar melalui WhatsApp dan menganggap sesuatu isu hanya boleh difahami dengan membaca beberapa perenggan komentari ringkas yang santai.
  • Mentaliti lebih gemar ber’gosip’ dari menyelesaikan isu.
  • Mentaliti menganggap troll dan komentar simplistik sebagai tanda pemahaman sesuatu isu dan ketertinggian ilmu teragung lantas menjadikan ‘page-page Facebook’ dan ‘group-group WhatsApp’ sebagai temasya meraikannya.
  • Mentaliti siapa yang banyak memberi komen konon-konon ‘pedas’ dan ‘lantang’ akan dijulang sebagai para inteligensia syumul.
  • Mentaliti budaya membunuh karakter, bukan berbahas idea.

Bagi yang beridea pula, ramai yang tidak mempunyai rasa bertanggungjawab dengan mengamalkan budaya ‘lontar dan biar’. Peribahas Inggeris ada menyatakan, “All that is necessary for the triumph of evil is that good men do nothing.”

‘Lontar dan biar’ sama saja dengan tidak buat apa-apa. Begitu juga dengan sikap terlalu banyak berdiskusi tanpa disusuli dengan gerak kerja. Jangan lupa juga sikap asyik memberi alasan, “Ah! itu bukan kerja aku”. Tidak proaktif. Tapi bila reaktif, riuhnya mengalahkan letupan radioaktif.

Rumusan

Pada saya, inilah ‘turbulen bola sepak’ yang mesti didepani dengan berhikmah oleh Bapa Pembangunan Bola Sepak Moden. Jika kita semua ini diibarat sebagai sebuah keluarga, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menangani turbulen bola sepak ini bersama-sama Bapa.

Segala taruhan, keringat, sumbangan, pengorbanan, usaha, masa, harta dan tenaga yang kita laburkan adalah tidak lain tidak bukan untuk melahirkan laskar-laskar Negara Bola Sepak yang akan berjuang di atas padang. Demi Jalur Gemilang di dada.

Gambar oleh: (MOHD RASFAN/AFP/Getty Images)

Orang-orang skeptikal akan menyuruh kita untuk berputus harap terhadap bola sepak kita. Mustahil Malaysia masuk Piala Dunia, kata mereka. Tetapi kita semua degil. Dan saya menyeru anda untuk teruskan berdegil.

Pesan ahli puisi, Kahlil Gibran:

“Cinta itu adalah apabila kita mengalirkan air mata dan masih peduli kepadanya.”

Padang bola sepak itu mungkin kecil di mata orang luar. Tetapi itulah segala-galanya di mata kita. Begitulah kecintaan yang disulami kedegilan kita terhadap bola sepak Malaysia.

Percayalah setiap malam sebelum tidur, pasti antara kita ada membayangkan untuk mendengar ayat ini di televisyen:

“Salam sejahtera buat semua peminat bolasepak Malaysia. Ketika ini, kita sedang menyaksikan perarakan masuk pasukan negara dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan pusingan akhir Piala Dunia. Dan sebentar lagi akan bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku”.

Suatu hari nanti. Amin.

Nota editor:

Artikel ini ditulis oleh Izham Ismail. Beliau merupakan CEO Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Malaysia (PFAM), yang bertanggungjawab menjaga kebajikan lebih 700 ahli berdaftar PFAM dan menyelesaikan lebih 100 kes berkaitan tunggakan gaji, perpindahan dan kontrak sejak tahun 2014.

Beliau juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Kesatuan Pemain Dunia (FIFPro) Divisyen Asia/Oceania untuk membawa suara pemain di rantau Asia dan Oceania ke peringkat dunia. Selepas 2 tahun bersama PFAM, kini beliau dalam usaha untuk menubuhkan National Dispute Resolution Chamber, sebuah badan kehakiman bebas yang dikawalselia oleh FIFA yang disertai oleh FAM dan PFAM untuk menyelesaikan kes-kes berkaitan kontrak dengan lebih efektif.

Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang paling muda. Penyokong pasukan Selangor dan Liverpool.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!

Topik Berkaitan

fam
Kategori Artikel


Kongsi