Wan Zaharulnizam, Nazrin Nawi ‘Pulang’ ke Kelantan FA?

Teka-teki mengenai status dua pemain kelahiran Kelantan iaitu Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Mohd Nazrin Nawi akhirnya terjawab selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerusi akaun media sosialnya pada Jumaat telah mengumumkan ‘kepulangan’ mereka.

Dalam hantaran yang sama, kedua-dua pemain tersebut dilihat telah mula turun menjalani latihan bersama pasukan buat kali pertama di bawah kendalian ketua jurulatih, Yusri Che Lah di padang Institut Kemahiran Beliau Negera (IKBN) Bachok.

Penolong Pengurus Team Red Warriors (TRW), Datuk Azman Ismail ketika dihubungi SemuanyaBOLA mengesahkan, kedua-dua pemain itu memang sudah berada di kem pasukan Kelantan. Bagaimanapun pihak KAFA masih belum dapat mengumumkan penyertaan mereka secara rasmi.

“Kami perlu hormati pihak FAM kerana masih ada beberapa perkara yang belum diselesaikan. Jadi kami tak boleh umumkan secara rasmi tentang kemasukan pemain-pemain baharu,” jelas Azman.

Wan Zaharulnizam, 28 atau lebih mesra dipanggil ‘Kecik’ sememangnya ‘produk tempatan’ dengan mula bermain bersama skuad Piala Presiden Kelantan FA sebelum menyertai pasukan Harimau Muda yang ditubuhkan oleh FAM pada 2010.

Kemudian beliau beraksi di Kelantan FA selama tiga musim pada 2014 hingga 2016. Tahun berikutnya beliau membuat keputusan untuk menyertai pasukan Pahang FA dan kekal bersama pasukan itu sehingga penghujung musim ini.

Nazrin Nawi pula yang dilahirkan di Tumpat selama ini tidak pernah bermain untuk mana-mana pasukan negeri itu. Pasukan pertamanya selepas tamat pengajian di Sekolah Sukan Bukit Jalil adalah UPB-MyTeam. Kemudian beliau bermain untuk pasukan KL Plus, Kuala Lumpur dan kemuncak kariernya adalah ketika bersama Negeri Sembilan pada 2012 hingga 2013.

Kecemerlangannya di Skuad Jang itu telah memikat pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk memancingnya dan beliau sempat menghabiskan tiga musim bersama Harimau Selatan dan merupakan sebahagian daripada skuad yang memenangi Piala AFC pada 2015. Selepas itu pemain sayap berusia 31 tahun tersebut menyertai Perak dan musim lalu beliau beraksi untuk pasukan Melaka United.

Ketika ditanya apakah harapan yang diletakkan kepada dua pemain itu, Azman berharap dengan pengalaman yang mereka miliki, ianya dapat membantu jurulatih dan semua rakan sepasukan mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan.

“Untuk musim depan ini kami mensasarkan untuk layak ke Liga Super 2021. Bermakna kami akan berusaha untuk menamatkan Liga Premier dengan kedudukan empat terbaik kerana dengan adanya empat pasukan simpanan [feeder club] yang tidak akan naik ke Liga Super, ianya akan membantu.

“Kami merasakan sasaran itu realistik berdasarkan pasukan yang telah dibentuk ini. Mungkin lawan yang paling kuat dalam Liga Premier untuk memberi cabaran adalah Pulau Pinang. Dengan Kelantan United kami tiada masalah. Malah kami berharap kedua-dua pasukan dapat mencipta rekod layak ke Liga Super secara bersama.”

Kredit Foto: Kelantan FA Team Red Warriors

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN